04.jpg

- Advertisement -

Datuk Syafinaz Selamat (lahir 11 Januari[nota 2] 1973) merupakan seorang penyanyi Malaysia, yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu. Beliau juga terkenal sebagai penyanyi soprano negara, dan dilihat sebagai seorang jurulatih vokal terkemuka serta juri/pengkritik dalam beberapa program nyanyian dan seni persembahan di seluruh tanah air. Selain itu, beliau juga memikul tiga tanggungjawab sekali gus; iaitu sebagai pensyarah vokal dalam Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan di UiTM, pensyarah di ASWARA, serta vokal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia dan kumpulan PERMATA Seni Koir.

Kerjaya

Selain menyanyi, Syafinaz juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Akademi Seni Kebangsaan (The National Arts Academy @ ASWARA); penasihat dan master suara di Koir Kebangsaan Malaysia; konduktor bagi kumpulan PERMATA Seni Koir; dan dalam masa yang sama sedang bekerja keras dalam mengusahakan album terbarunya.

Syafinaz juga ada menawarkan khidmat tutor vokal secara persendirian kepada individu yang memerlukan khidmat profesionalnya secara peribadi. Umum mengetahui bahawa beliau pernah memberi tutor vokal kepada beberapa artis tempatan yang kini telah berjaya menempa nama dalam industri hiburan. Antara artis-artis tersebut ialah Misha Omar, Ernie Zakri, Khai Bahar, Ezlynn, Tiara Jacquelina, Noreen, Rozita Ezlyn dan ramai lagi.

Reputasi Syafinaz sebagai pelontar suara soprano sehingga digelar Ratu Soprano telah menjadikan beliau sebagai salah satu penyanyi yang sering diundang untuk membuat persembahan klasikal di dalam acara-acara berprestij dalam dan luar negara. Antara persembahan luar negara beliau termasuklah pada majlis penutupan World Economic Forum di Davos(Switzerland) pada tahun 2007, persembahan di World Expo di Zaragoza(Sepanyol) pada tahun 2008, persembahan di SEA GAMES di Vientiane(Laos) pada tahun 2009, Islamic Fashion Week di Monte Carlo(Monaco) pada tahun 2010 di hadapan Putera Albert, dan juga Festival Fesyen Islam (IFF) di Kazakhstan pada tahun 2011. Syafinaz juga merupakan antara selebriti yang membuat persembahan semasa lawatan rasmi Barack Obama ke Malaysia pada tahun 2014, selaku presiden Amerika Syarikat pada ketika itu.

Syafinaz mempunyai pengalaman yang luas dalam penjurian bakat seni nyanyian dan persembahan. Beliau pernah menjadi juri untuk program realiti Akademi Fantasia musim ke 3 dan 4; Who Will Win, Mentor, One in a Million musim 1, 2 dan 3; Pop Krew, Bintang Kecil RTM, Bintang RTM, The Band dan AF Megastar 2017. Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi pelatih suara serta penasihat muzik untuk Audition II dan Bintang RTM 2018. Beliau juga merupakan salah seorang daripada mentor dalam siri program realiti tempatan; Mentor musim ke-7 2018. Dalam Mentor 7, Syafinaz merupakan satu-satunya mentor yang telah berjaya mengekalkan kedua-dua protegenya hingga ke peringkat separuh akhir. Beliau juga telah berjaya membawa satu-satunya protege wanita dalam Mentor 7, Ranisha mara hingga ke peringkat akhir.

Sumbangan Syafinaz dalam bidang seni, persembahan, muzik, industri hiburan serta pendidikan selama 30 tahun telah melayakkan beliau untuk menerima penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk; yang disampaikan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2018.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: