Rembau adalah sebuah bandar atau daerah yang terletak di Negeri Sembilan, Malaysia. Tahukah anda, Daerah Rembau ini terletak kira-kira 25 km ke selatan dari ibu negeri, Seremban. Untuk ke Rembau, anda biasanya boleh melalui jalan lebuh raya dari Seremban ataupun Tampin. Ia lebih mudah dan pantas.

72

Bila sebut sahaja Rembau, sudah pasti anda akan teringatkan tentang lagu nyanyian daripada Waris dengan lagunya Rembau Most Wanted dan tidak dilupakan juga ahli politik di negara kita yang berasal dari Rembau iaitu Khairy Jamaludin. Rembau merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang tersimpan banyak sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau ke Negeri Sembilan dan juga tempat berkumpulnya orang-orang Minangkabau sewaktu berhijrah ke tanah melayu.

Kisah Wujudnya Daerah Rembau, Negeri Sembilan

73.jpg

Nama Rembau ini diambil daripada nama sejenis pokok yang bernama pokok Merbau. Ceritanya bermula apabila sekumpulan orang asli terjumpa sebatang pokok Merbau yang amat besar dan tinggi. Sekumpulan orang asli ini diketuai oleh Batin Sekudai sewaktu hendak membuat penempatan baru di kaki Gunung Datuk. Oleh kerana pokok Merbau tersebut sangat besar dan tinggi, ia menimbulkan keresahan buat mereka yang ingin buat penempatan di sana kerana risau ia tumbang di masa akan datang lantas akan membahayakan keselamatan mereka.
Setelah berbincang sesama mereka, akhirnya mereka sebulat suara membuat keputusan untuk menebang pokok Merbau tersebut. Maka mereka pun menebang pokok Merbau secara bergilir-gilir dengan menggunakan kapak dan beliung selama tujuh hari tujuh malam. Walaupun mereka bekerja keras untuk menebang pokok Merbau tersebut tetapi apa yang menghairankan mereka ialah pokok tersebut masih juga tidak mahu tumbang.

74.jpg

Setelah genap tujuh hari tujuh malam mereka berusaha untuk menumbangkan pokok Merbau, akhirnya mereka mengadukan perkara itu kepada seorang bomoh yang paling handal dalam kalangan mereka dan bomoh itu meminta mereka agar mendaki gunung Datuk sehingga sampai ke kemuncak untuk meminta izin dari penunggu gunung tersebut bagi menebang pokok Merbau tua itu. Akhirnya pokok itu tumbang pada keesokan harinya apabila hujan lebat menyirami tempat mereka pada malam itu.
Mereka menjamu selera dan bersuka ria setelah berjaya menumbangkan pokok yang paling besar itu malah sebahagian dari mereka menyusuri batang pokok itu untuk mencari pucuknya. Tanpa disedari, mereka sampai di sebatang sungai dan akhirnya sungai itu dinamakan sebagai Sungai Ujung. Kawasan pangkal pokok itu pula dinamakan Kampung Merbau Tua. Untuk meringkaskan sebutan, ia disebut Kampung Merbau dan lama-kelamaan hanya disebut Rembau sahaja sehinggalah ke hari ini.

Itulah dia kisah Rembau ditubuhkan sebagai sebuah daerah dalam Negeri Sembilan. Jom lihat senarai tempat menarik di Rembau dan aktiviti yang boleh anda lakukan di sini!

1 Hutan Lipur Gunung Datuk

75.jpg

Gunung Datuk mempunyai pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan. Gunung ini juga menyediakan air terjun yang indah dan menyimpan pelbagai hidupan liar serta tumbuh-tumbuhan. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan ialah hiking, mandi di air terjun serta banyak lagi aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Jika anda ingin berkhemah pun tiada masalah. Ketinggian gunung ini dianggarkan sekitar 884 meter ataupun setinggi 2900 kaki.

Sekiranya anda seorang yang gemarkan aktiviti pendakian, terdapat banyak kesukaran untuk mendaki gunung ini yang pastinya tidak pernah anda alami sepanjang mendaki gunung di tempat lain. Cuacanya yang lembab sepanjang masa pasti membuatkan pendakian anda memerlukan ketahanan daya fizikal dan mental yang tinggi. Untuk sampai ke puncak biasanya memerlukan sekitar 2 hingga 3 jam pendakian. Terdapat banyak kemudahan yang disediakan seperti khemah serta chalet untuk kemudahan para pelawat. Harga yang ditawarkan pula tidaklah mahal sangat.

2. Rembau Crystal

76.jpg

Bagi anda yang sering ke Kampung Senama di Rembau, pasti anda pernah mendengar tentang tempat pembuatan kristal iaitu Rembau Kristal. Tahukah anda, pembuatan kristal di sini merupakan pusat kristal yang terbesar di Malaysia. Anda boleh melihat demostrasi pembuatan pelbagai barangan hiasan berasaskan kristal malah kualitinya adalah mengikut piawaian antarabangsa. Antara barangan yang terdapat di sini adalah pasu, mangkuk, bekas gula-gula serta bermacam-macam lagi barangan hiasan.

Rembau Kristal juga merupakan sebuah pusat pelatihan, pembuatan serta pameran untuk tontonan para pelancong tidak kiralah luar negara ataupun dalam negara. Struktur unik Galeri Rembau Crystal ini memuatkan ciri-ciri unik seni bangunan Melayu Minangkabau. Anda harus tahu bahawa Rembau Kristal ini diasaskan oleh Yayasan Negeri Sembilan. Perkampungan kristal ini sering menjadi pusat bagi remaja tempatan mempelajari cara-cara membuat kristal. Selain itu pusat ini juga membuka peluang untuk menjual hasil kerajinan tangan mereka yang cantik dan unik.

Waktu beroperasi adalah dari pukul 9 pagi sehingga pukul 5.30 petang pada hari Isnin hingga Khamis. Hari Sabtu pula, ia dibuka dari pukul 9 pagi sehingga pukul 5 petang. Pada hari Ahad, pusat ini ditutup tetapi jika ada temu janji awal dibuat, ia akan dibuka.

3. Kelip Kelip Sungai Timun

77.jpg

Waktu siang di sungai timun ini pasti hanya terdapat aktiviti para nelayan menangkap udang galah yang sememangnya sangat segar belaka. Apabila suasana malam menjelma, keindahan kelip-kelip akan terpancar cahayanya di sekitar kawasan ini. Bagi anda yang inginkan pengalaman untuk melihat kelip-kelip, anda bolehlah datang ke sini. Apa yang menariknya, kelip-kelip di sini seakan akan sudah terbiasa dengan bunyi enjin bot serta kehadiran orang ramai.

Tempat ini biasanya didatangi oleh pengunjung luar negara setiap minggu untuk melihat dengan lebih dekat tentang keindahan kelip-kelip ini. Selain itu, anda juga berpeluang melihat buaya dan bangau disini. Harga yang dikenakan adalah RM20 bagi setiap orang selama 1 jam untuk melihat keindahan kelip-kelip ini. Cahayanya akan malap apabila hari hujan.

4. Kolam Air Panas Pedas

78.jpg

Walaupun kawasan ni di daerah Pedas, Negeri Sembilan, ia tetap merupakan salah satu tempat menarik di Rembau juga. Siapa antara anda yang pernah pergi ke kolam air panas? Bagi yang selalu melalui kawasan daerah Pedas tu bolehlah ke taman air panas ini. Di sini terdapat kolam air panas yang tidaklah terlalu panas dan sesuai untuk kanak-kanak juga. Kolam air panas ini juga dikenali dengan nama ‘Wet World Resort Air Panas Pedas’ dan telah dibuka sejak 1999.

Kolam air panas ini dibuka pada pukul 1 petang sehingga 6.30 petang dan ditutup pada hari Selasa. Terdapat banyak kemudahan di sini seperti tempat parking kereta yang luas, tandas, tempat penyimpanan barang dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda, disini terdapat kolam reflexologi untuk tujuan perubatan. Bagi anda yang mahu menghilangkan stress dan penyakit dalaman, anda boleh bermain di sini. Harga tiket bagi dewasa adalah RM15 dan kanak-kanak pula adalah RM12. Murahkan!

5. D’bukit Homestay Rembau

79.jpg

Adakah anda mencari homestay yang jauh dari kesibukan kota dan mahukan ketenangan yang amat damai? Ini adalah satu peluang yang baik jika anda merancang untuk bercuti di tempat menarik di Rembau, Negeri Sembilan. Saya syorkan anda ke D’bukit Homestay yang terletak di Rembau kerana lokasinya amat tenang dari kesibukan orang ramai. Untuk ke sini, anda kena menyusuri jalan kampung sejauh 2 Kilometer dari jalan utama. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan iaitu bilik penginapan, surau, tandas, kolam renang, tempat memasak, tempat memancing serta banyak lagi kemudahan penting untuk anda dan keluarga. Sumber air kolam di sini adalah dari sumber air bukit yang sememangnya menyegarkan dan sejuk. Jadi apa tunggu lagi, bawalah keluarga tersayang anda ke sini, pasti seronok.

6. Replika Istana Raja Melewar

80.jpg

Replika Istana Raja Melewar telah dibuka kepada orang ramai semenjak September 2004. Pembangunannya berjumlah 2.7 juta ini merupakan daya usaha Pejabat Daerah Rembau dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan dengan bantuan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tujuan pembinaan Replika ini adalah sebagai sesuatu imej bagi pelancongan bersejarah agar dapat mengimbas kembali reka bentuk asal Istana Raja Melewar yang pernah diduduki di tapak asal ini pada era pemerintahannya.

Pejabat Daerah Rembau telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan agar pengisian muzium diamanahkan kepada Lembaga Muzium Negeri. Konsep dan objektif yang sesuai berlatar belakang bangunan dan sejarah Rembau menjadi elemen penting dalam pengisian muzium ini. Untuk pengetahuan anda, Raja Melewar atau nama asalnya ialah Raja Mahmud, putera kepada Sultan Abdul Jalil Pagar Ruyung, merupakan anak raja Minangkabau dari kerajaan Pagar Ruyung adalah Yang Dipertuan Besar pertama di Negeri Sembilan.

Di sini, terdapat artifak-artifak dan peninggalan sejarah di daerah Rembau untuk dihayati oleh pengunjung dalam dan luar negeri. Dengan terbinanya Replika Istana ini, penerangan tentang sejarah dan budaya Rembau serta kedatangan raja-raja ke Negeri Sembilan dapat dihayati dengan lebih jelas dan berkesan. Replika Istana Raja Melewar ini juga dijadikan sebagai tempat rujukan dan memberi khidmat kepada pengumpul, penyelidik, penuntut dan pencinta sejarah tanah air.

7. Masjid Pekan Rembau

81.jpg

Masjid Pekan Rembau ataupun lebih dikenali sebagai Masjid Jamek An-Nur Pekan Rembau merupakan sebuah masjid yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan. Tempat menarik di Rembau ini telah dibina dengan menggunakan kayu dan ia diasaskan olah Allahyarham Haji Talib. Tapak masjid ini pula adalah pemberian daripada Kerajaan Negeri Sembilan. Bangunan masjid ini kemudiannya dibina dengan menggunakan konkrit dengan kosnya dibiayai melalui dana oleh kerajaan dan hasil derma orang ramai. Semuanya adalah untuk menampung keperluan para jemaah yang semakin meningkat dari masa ke semasa. Anda perlu ketahui bahawa tempat menarik di Rembau ini juga telah dinaiktaraf pada tahun 1975M. Dengan pembesaran masjid ini, dari kapasiti jemaah masjid yang pada asalnya seramai 200 orang, kini ia telah meningkat kepada 1,000 orang.

82.jpg

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi tempat menarik di Rembau yang boleh dilawati oleh anda semua. Tempat-tempat menarik yang bersejarah khususnya hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya agar terpelihara untuk tatapan generasi akan datang. Jom lihat tempat menarik di Skudai dan tempat menarik di Kuala Lipis pula.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.