48

SWANSEA: Pep Guardiola tetap merendah diri mengenai peluang Manchester City menjulang empat trofi musim ini tetapi skuad kendaliannya yang dijadual menentang Swansea di suku akhir Piala FA hanya memerlukan 16 lagi kemenangan untuk meraih semua gelaran.

City menghampiri rekod untuk merangkul semua kejuaraan utama yang ditawarkan musim ini apabila mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan membelasah kelab Jerman, Schalke 7-0 pada aksi kedua peringkat 16 terbaik, semalam.

Kelab Inggeris itu sudah pun menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Chelsea, bulan lalu tetapi ia belum cukup untuk memuaskan hati Guardiola yang dahagakan lebih kegemilangan.

Kemenangan ke atas kelab divisyen dua, Swansea menyaksikan City mara ke separuh akhir Piala FA tatkala pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kian hangat.

Penyandang juara itu hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga kedua, Liverpool dan sekali pun kedudukan di puncak liga boleh dicantas jika Reds menang ke atas Fulham, Ahad ini mereka tetap mempunyai kelebihan beraksi kurang satu perlawanan.

Dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap pemainnya, Guardiola cuba untuk meredakan cakap-cakap mengenai peluang City menjuarai empat gelaran, kejayaan yang belum pernah dicapai pasukan Inggeris sebelum ini.

“Banyak kali saya katakan, dan saya tahu betapa murahnya hati kami dan disebabkan itu saya berterima kasih kepada kamu semua,” kata Guardiola secara berseloroh ketika menjawab soalan mengenai prospek pasukannya menjulang empat kejuaraan.

“Tetapi setiap kali kamu mengeluarkan komen kami tewas dalam kejohanan, jadi saya fikir kamu melakukan provokasi terhadap saya dengan cara seperti itu dan kita akan lihat bagaimana yang seterusnya berlaku.”

Swansea yang ketika ini menghuni kelompok pertengahan Liga Kejuaraan dijangka tidak memberi ancaman besar terhadap City tetapi laluan kelab itu berikutnya dijangka sukar.

Semasa mengendalikan Barcelona, Guardiola berjaya membimbing kelab Catalan itu meraih tiga kejuaraan pada musim 2008-09 tetapi pengendali kelahiran Sepanyol itu bijak menyembunyikan hasrat terpendamnya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan berkenaan, bekas pengurus Bayern Munich itu sering memberi jawapan untuk dilabel setaraf pasukan elit di Eropah, City perlu memastikan mereka sentiasa bersaing di pentas tertinggi.

“Kelab-kelab besar, itulah perbezaan yang terbesar. Seperti sering cakapkan sebelum ini, apa yang kelab-kelab ini lakukan pada sedekad lalu? Juventus, Bayern Munich, Barcelona, inilah pasukan terbaik di Eropah sejak sedekad lalu.

“Mengapa? Kerana setiap musim mereka memenangi liga, setiap musim memenangi piala, setiap musim mereka berada di sana kerana mereka adalah yang terbaik. Sukar untuk meniru mereka, berada dalam kejohanan tidak kira apapun, sehingga tahap terakhir.” – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.