Dean dedah kata-kata, kelakuan Pochettino

0

36

- Advertisement -

LONDON: Pengadil Mike Dean mendedahkan sikap pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino sebagai ‘tidak bertanggungjawab dan agresif’ selepas pasukannya mengharungi kekalahan 1-2 kepada Burnley, bulan lalu.

Pochettino melancarkan konfrontasi terhadap Dean susulan kekalahan itu yang menyaksikan Spurs semakin ditinggalkan Manchester City dan Liverpool dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Berikutan tindakannya, pengendali dari Argentina itu dijatuhkan hukuman gantung dua perlawanan dan denda 10,000 pounds (RM53,491) oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) atas kesalahan salah laku.

Dean menulis dalam laporan pengadil yang diterbitkan oleh FA, semalam yang menjadi alasan terhadap hukuman berkenaan betapa Pochettino berulang kali berkata “kamu tahu siapa diri kamu” kepadanya ketika konfrontasi berkenaan.

“Tindakan Pochettino amat tidak bertanggungjawab dan caranya agresif,” tulis Dean dalam laporannya. “Dia tidak mahu berhenti bercakap ‘kamu tahu siapa diri kamu’.

“Saya memintanya untuk memberikan penjelasan dan dia berulang kali bercakap ‘kamu tahu siapa diri kamu’.

“Saya kemudian berkata… jauhkan diri kamu daripada saya sebanyak 10 kali dan dia enggan keluar daripada ruang peribadi saya dan kemudian secara agresif menunjukkan jarinya hanya beberapa inci daripada muka saya dan sekali lagi berkata ‘kamu tahu siapa diri kamu.’

“Apabila saya sampai ke terowong dia menunggu di tangga teratas dan sekali lagi berkata ‘kamu tahu siapa diri kamu’ dan perlu diiringi ke bilik persalinan oleh staf keselamatan Burnley.”

Laporan FA berkata pembantu pengadil mengesahkan situasi berkenaan.

Pochettino yang membuat permohonan maaf secara umum atas tindakannya berkata beliau terkejut dengan penggantungan itu sebelum kekalahan 1-2 pasukannya kepada Southampton minggu lalu.

Tottenham ketika ini menghuni tangga ketiga liga selepas mengumpul 61 mata daripada 30 perlawanan, ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Manchester City dan dijadual bertemu pasukan tangga kedua, Liverpool pada 31 Mac ini. – REUTERS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: