XOX sasar 100,000 pelanggan eSIM

- Advertisement -
Pelancaran XOX eSim (inovasi solusi digital) oleh Ketua Pegawai Eksekutif XOX Mobile Malaysia, Ng Kok Heng.
PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian digital, XOX Mobile Malaysia (XOX) menyasar 100,000 pelanggan teknologi ‘embedded sim’ (eSIM) di negara ini pada tahun ini.
eSIM adalah teknologi yang mana setiap model telefon terkini seperti iPhone Xs, Xr dan Xs Max dan Google Pixel 3 mempunyai cip ‘Subscriber Identity Module’ (SIM) elektronik yang telah siap dipasang di dalam telefon berkenaan.
Ketua Eksekutif XOX, Ng Kok Heng, berkata dengan penggunaan eSIM, proses pendaftaran dilakukan sepenuhnya dalam talian.
“Pelanggan tidak lagi perlu mengunjungi pusat perkhidmatan pelanggan untuk mendaftar talian telefon mereka.
“Malah, sebaik saja pelanggan melengkapkan semua langkah pendaftaran yang diberikan, talian mereka akan diaktifkan serta merta.“Pelancaran XOX eSIM adalah selaras dengan usaha berterusan kami untuk menerapkan kemajuan teknologi serta mempromosi gaya hidup digital,” katanya pada sidang media selepas pelancaran eSIM di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata dengan perubahan aliran global yang menjurus ke arah gaya hidup digital, XOX dianggap memenuhi kehendak pengguna pada masa ini.
“Kami menjangka pertumbuhan positif terhadap permintaan pengguna teknologi eSIM dalam masa terdekat berdasarkan jumlah pengeluar peranti serasi eSIM di pasaran yang semakin meningkat,” katanya.
Pelanggan XOX eSIM boleh menikmati penggunaan internet berkelajuan tinggi selama 24 jam sehari.
Menerusi pelan XOX BLACK dengan ciri utama ‘BURNPROOF’, data yang tidak digunakan boleh dibawa ke bulan berikutnya tanpa sebarang pembaziran data.
Selain itu, pelan berkenaan juga tidak mempunyai kontrak dan ia memberi peluang kepada pengguna talian komunikasi lain untuk menukar kepada XOX apabila mereka memerlukannya.