34

LONDON: Pep Guardiola menegaskan skuad kendaliannya ketika ini bermain ‘lebih baik’ berbanding tahun lalu yang menyaksikan Manchester City menjulang trofi Liga Perdana Inggeris dengan memecahkan rekod kejohanan.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu berkata sekali pun pasukannya tewas dalam pemburuan kejuaraan kepada Liverpool musim ini, barisan pemainnya tidak boleh dilabelkan sebagai gagal.

City kembali diletakkan sebagai pilihan untuk mengekalkan kejuaraan selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu dan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi tetangga Merseyside meletakkan mereka satu mata di atas skuad kendalian Jurgen Klopp.

“Berdasarkan cara kami bermain, kami beraksi dengan lebih baik (berbanding musim lalu),” kata Guardiola. “Semua orang tahu apa yang kami perlu lakukan, semua orang membantu satu sama lain.

“Dan apabila perkara ini berlaku, kami boleh terus bersaing dan jika kami tewas, kami tetap tewas tetapi tiada penyesalan.

“Saya tahu dalam masyarakat kita hanya pemenang mendapat pujian pasukan di tempat kedua adalah orang tewas. Tetapi adalah mustahil untuk saya merasai perkara itu terhadap pemain saya.”

City memecahkan beberapa rekod liga apabila menjulang gelaran pada musim 2017/18 termasuk mengumpul jumlah mata tertinggi 100 mata dan menjaringkan 106 gol.

Sekali pun gagal untuk mengulangi dominasi yang direkodkan musim lalu, City begitupun berjaya mengatasi defisit tujuh mata di belakang Liverpool pada satu ketika untuk kembali merampas carta teratas. – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.