04.jpg

- Advertisement -

Nur Atikah binte Mohd Suhaime (lahir pada 15 Mac 1991) atau lebih popular sebagai Atikah Suhaime (Jawi: اتيكه سوهايم) merupakan pelakon wanita Singapura yang aktif berlakon di Malaysia. Beliau telah berlakon dalam beberapa drama TV termasuk Dewi Lasak (2013), Si Kolot Suamiku (2016) dan Cinta Tiada Ganti (2018) dan telah membintangi beberapa filem termasuk Lagenda Budak Hostel (2013), Muka Surat Cinta (2014), dan Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi (2016).

Kerjaya

Pada usia 19 tahun, Atikah Suhaime memulakan kerjaya televisyen pada 2010 di negara kelahirannya, Singapura menerusi siri TV Dikir Puteri dan Delicatesseen terbitan MediaCorp untuk saluran MediaCorp Suria.

Beliau berhijrah ke Malaysia pada tahun 2012 di mana beliau menyertai Metrowealth Pictures sebagai salah seorang artis naungannya. Drama pertama lakonannya di Malaysia ialah Rawan di mana Atikah berlakon bersama Faralyna Idris, Erin Malek, dan Fadzil Zahari. Setahun kemudian, Atikah membuat penampilan filem pertamanya menerusi watak Mila dalam filem komedi gelap 2013, Lagenda Budak Hostel arahan Ismail Bob Hasim. Juga pada tahun sama, beliau berlakon bersama Bella Dally dan Intan Ladyana dalam drama Dewi Lasak arahan Pierre Andre, memegang watak sebagai Dewi Qistina.

Beliau kemudiannya berlakon dalam filem dokumentari seram Highland Towers arahan Pierre Andre yang mendokumenkan peristiwa tragedi Highland Towers pada 1993. Filem ini turut dibintangi oleh Shima Anuar, Adibah Yunus, Mikail Andre dan Niezam Zaidi. Pada 2014, Atikah berlakon dalam filem Banglasia arahan Namewee Beliau juga bergandingan bersama Syafiq Kyle sebagai Tania Katsura dalam drama bersiri Bila Hati Berbicara di TV3.

Pada 2016, Atikah berlakon dalam drama adaptasi novel, Si Kolot Suamiku lakonan Amar Baharin dan Siti Elizad. Seterusnya beliau membintangi watak Nora Sikin dalam filem romantik Indonesia, My Stupid Boss arahan Upi Avianto lakonan Reza Rahadian dan Bunga Citra Lestari.

Bermula 10 Julai 2018, beliau menjadi pelakon utama bersama Aedy Ashraf, Nelydia Senrose dan Ben Amir dalam drama adaptasi telenovela Filipina Cinta Tiada Ganti; memegang watak sebagai Arianna Natasya. Ia mengisahkan percintaan Ara dan Mukhriz yang penuh dengan ujian.

Kehidupan peribadi

Pada Mac 2018, Atikah telah bertunang dengan penyanyi Singapura iaitu Awi Rafael, dan dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Mac 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: