66

- Advertisement -

MERSEYSIDE: Liverpool kekal menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris selepas terikat 0-0 dengan seteru tetangga, Everton sebentar tadi.

Segar dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Watford, minggu lalu, Liverpool tiba ke Goodison Park dengan selera besar tetapi skuad kendalian Jurgen Klopp itu buntu sekali pun memperoleh beberapa peluang terbaik.

Pelawat memperoleh peluang untuk mendahului pada minit ke-28 selepas Everton kehilangan bola di kawasan tengah tetapi percubaan penyerang berbisa Mohamed Salah berjaya dihalang Jordan Pickford.

Selepas tiada jaringan dijana pada separuh masa pertama, perlawanan pada babak kedua makin hangat dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Pada minit ke-57, Liverpool sekali lagi berpeluang di depan juga menerusi Salah yang bijak menewaskan dua pertahanan Everton tetapi gerakannya sedikit terlambat apabila berjaya dihalang pertahanan, Michael Keane.

Terdesak memburu jaringan, Klopp memasukkan Firmino pada minit ke-63 menggantikan Divock Origi bagi menambah sengat di bahagian serangan.

Dua minit kemudian, trio berbahaya Salah, Firmino dan Mane berjaya mencemaskan kubu Everton tetapi hantaran Firmino kepada Mane di dalam kotak penalti gagal disudahkan.

Liverpool memperoleh peluang terbaik pada minit ke-69 berpunca tandukan Virgil Van Dijk yang tepat ke depan gawang Everton tetapi Fabinho gagal mengawal bola dengan baik dan berjaya dihalang pertahanan.

Keputusan menyaksikan Liverpool yang menang 1-0 pada aksi tetangga pertama di Anfield, Disember lalu hasil jaringan saat akhir Origi gagal memintas kedudukan City di puncak liga.

Selepas 29 perlawanan, City yang menang 1-0 ke atas Bournemouth, semalam mengisi carta teratas selepas mengumpul 71 mata manakala Liverpool kedua dengan 70 mata berbaki sembilan perlawanan. – AGENSI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: