Perebutan kini hanya antara The Reds, City

- Advertisement -
KOLUM APA KATA EPL
SELEPAS 28 perlawanan, hanya Liverpool dan Manchester City dilihat berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan liga musim ini. Ini selepas Tottenham Hotspur yang berpotensi sebelumnya, dianggap hampir terkeluar selepas tercicir mata lagi pada pertengahan minggu.
Selain kejuaraan liga, buruan pasukan yang bersaing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah empat slot ke Liga Juara-Juara Eropah. Dengan dua slot sudah hampir pasti milik The Reds dan The Citizens, nampaknya dua tempat lagi menjadi buruan pasukan lain.
Di samping Spurs yang menduduki tangga ketiga menerusi himpunan 60 mata, tiga lagi gergasi EPL iaitu Arsenal, Manchester United dan Chelsea turut berpeluang merebut tempat itu. The Gunners ketika ini ketinggalan empat mata di belakang Spurs, manakala satu mata mendahului United di tempat kelima.
The Blues yang menduduki tangga keenam liga, mengumpul 53 mata, hanya ketinggalan dua mata di belakang United namun memiliki kelebihan satu aksi. Calon juara, Liverpool yang menghuni tangga teratas menghimpun 69 mata manakala City, satu mata ketinggalan untuk menduduki tempat kedua.
Pada pertengahan minggu semua pasukan enam teratas liga mencatat kemenangan sekali gus menyaksikan tiada perubahan kedudukan. Liverpool merampas persada liga dari City selepas terikat 0-0 dengan United di Old Trafford, manakala Arsenal kembali ke tangga keempat.
City selaku juara bertahan, meraih gelaran pertama musim ini selepas mengatasi Chelsea pada aksi final Piala Liga. Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu kini di landasan memburu tiga lagi piala iaitu Liga Juara-Juara, Piala FA Inggeris dan EPL.
Adakah City mampu menggapai beberapa gelaran lagi selepas ini? Kemenangan 1-0 ke atas West Ham di laman sendiri pada pertengahan minggu boleh dianggap sebagai titik permulaan kepada usaha mereka itu. Minggu ini mereka berkunjung ke Bournemouth dengan sasaran sama.
Seperti City, Liverpool juga tidak boleh tercicir mata pada baki 10 perlawanan bermula menentang tetangga mereka, Everton tengah malam esok. Perlawanan `Merseyside Darby’ itu selalunya dianggap sukar. Namun kejayaan membelasah Watford 5-0 harus membangkitkan motivasi The Reds.
Arsenal pula bakal kembali teruji, apabila bertemu Spurs jam 8.30 malam ini menerusi aksi `North London Derby’. Seperti juga, lawannya, The Gunners tidak boleh tercicir mata jika enggan dipintas semula oleh United yang dijangka mengenepikan cabaran Southampton di Old Trafford.
Minggu depan kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di Emirates yang dijangka menjadi titik permulaan bagi menentukan kedudukan mereka dalam empat teratas liga tatkala Chelsea hanya menunggu mencuri peluang memintas kedua-duanya.
Saya jangkakan aksi di Spurs-Arsenal di Wembley malam ini bakal sukar buat kedua-duanya, jika melihat kepada disituasi semasa. Tottenham yang dimalukan Burnley 2-0 minggu lalu, sebelum dijinakkan Chelsea 2-0 di Stamford Bridge, nampaknya masih belum berputus asa.
Mampukah barisan Mauricio Pochettino melakukan keajaiban di Wembley malam ini?
Sementara itu, Chelsea akan berdepan pasukan bermasalah, Fulham di laman lawannya itu dengan isu pertelagahan pengendalinya, Maurizio Sarri dengan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga terus menghantui The Blues.
Pada pertengahan minggu, Kepa yang juga penjaga gawang termahal dunia, diketepikan Sarri bagi aksi menentang Spurs. Adakah dia akan tersisih lagi? Selamat menonton.
Ramalan Minggu Ini
Tottenham 1 Arsenal 1
Burnley 1 C Palace 1
Brighton 1 Huddersfield 1
Bournemouth 0 Man City 2
Man United 2 Southampton 0
Wolves 1 Cardiff 1
West Ham 1 Newcastle 1
Watford 2 Leicester 1
Fulham 1 Chelsea 1
Everton 1 Liverpool 2