Selebriti Malaysia- Vanida Imran

- Advertisement -
Vanidah binti Amran atau lebih dikenali sebagai Vanida Imran (dikreditkan sebagai Vanidah Imran; lahir 1 Oktober 1973) ialah seorang pelakon, model dan pengacara wanita Malaysia, terkenal dengan hasil kerjanya di televisyen dan filem. Beliau juga merupakan isteri kepada pelakon Rashidi Ishak. Pada tahun 2007, beliau dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik dan Festival Filem Malaysia ke-20. Beliau menjadi pengacara rancangan Nona bermula 2 Januari 2011 menggantikan Maya Karin.
Kerjaya
Pada usia 21 tahun, Vanida memegang watak Wan Nuraini dalam filem sulungnya, Putera arahan Aziz M. Osman. Lima tahun kemudian, beliau menjayakan watak sebagai Noraini dalam filem Badai Mentera.
Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk suaminya Rashidi Ishak, Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.
Pada 2004, beliau berlakon bersama Farid Kamil dalam filem thriler misteri, 7 Perhentian arahan Profesor Madya A. Razak Mohaideen. Dua tahun kemudian, Vanidah menjayakan peranan utama Azizah bersama Bob Mercer, Zahim Albakri dan Samantha Schubert dalam filem drama misteri The Red Kebaya arahan Oliver Knott. Pada 2006 juga, beliau terlibat dalam pementasan teater Lantai T. Pinkie bersama Nasha Aziz.
Vanida meminjamkan suaranya bagi watak Normah dan ibu Aziz dalam filem animasi arahan Anwardi Jamil Budak Lapok, yang diilhamkan dari filem Bujang Lapok karya P. Ramlee. Beliau menyertai barisan pelakon termasuk Afdlin Shauki, Tony Eusoff, Eja, dan Nasha Aziz membintangi filem drama Sepi arahan Kabir Bhatia yang ditayangkan pada 26 Jun 2008.
Vanida memegang watak sebagai Ain dalam filem Temuan Takdir yang ditayangkan pada 11 Ogos 2016.
Kehidupan peribadi
Beliau berkahwin dengan pelakon Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 dan mempunyai dua anak bersama, Mikail dan Mariyam. Beliau memperoleh ijazah Pengajian Bahasa Inggeris selepas empat tahun pengajian di Universiti Terbuka Malaysia.
Ibu beliau, Shariffah Bee binti Abdul Majid meninggal dunia pada 24 Disember 2017 akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 5.40 petang.
Pada 28 Oktober 2016, Vanida memfailkan saman terhadap syarikat kosmetik Ronasutra berhubung dengan pelanggaran kontrak dan penyalahgunaan gambarnya tanpa kebenaran dan menamakan Miliyasutra Industries sebagai defendan. Bagaimanapun, pada Mei 2017, beliau menang saman tersebut selepas Ronastura gagal rayu dalam kes saman terhadapnya pada Februari 2018.
Sekitar Ogos 2018, Vanida menafikan khabar angin mengatakan beliau dan suami, Rashidi Ishak tidak lagi bersama, beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai hal tersebut.