Spurs terdesak halang Arsenal

- Advertisement -
LONDON: Tottenham mungkin mengimpikan untuk menjulang gelaran Liga Perdana pada minggu lalu tetapi selepas kekalahan berturut-turut menentang Burnley dan Chelsea bermakna impian mereka kini dalam kedudukan bahaya malah turut berdepan ancaman untuk kekal di kedudukan empat terbaik apabila bertemu Arsenal dalam aksi liga di Wembley, esok.
Spurs mendahului lawannya dari utara London dengan empat mata, sementara Manchester United dan Chelsea juga berada di belakang mereka untuk memburu dua tempat ke Liga Juara-Juara pada musim hadapan.
Pasukan Mauricio Pochettino itu juga berdepan situasi lebih teruk kerana perlu bertemu Liverpool dan Manchester City dalam 10 perlawanan terakhir dalam kempen kali ini.
Pochettino memuji skuadnya yang memberi saingan dalam pemburuan gelaran, terutama ketika kemenangan lewat bertemu Fulham, Watford dan Newcastle apabila beraksi tanpa Harry Kane yang mengalami kecederaan.
“Buat masa ini perlu bertenang. Ia tidak akan mengubah penilaian saya kepada pemain,” kata Pochettino selepas pasukannya gagal membuat satu pun percubaan buat kali pertama dalam Liga Perdana sejak lima musim mengambil alih yang menyebabkan kekalahan 2-0 kepada Chelsea pada Rabu lalu.
“Kami perlu memberi sokongan kepada mereka, sediakan mereka dan bangkitkan semangat mereka serta membantu terus bersaing pada Sabtu ini kerana ia adalah perkara terpenting buat masa ini.”
Apa juga kekalahan yang dialami minggu lalu akan dilupakan jika Spurs kembali bangkit dalam perlawanan esok bagi meletakkan mereka kembali mendahului dengan tujuh mata di depan Arsenal.
Pochettino turut menyatakan musuh mereka itu juga berdepan dengan tekanan bagi mengelakkan daripada mengharungi tiga musim tanpa beraksi di Liga Juara-Juara. – AFP