Apa yang Menarik di Tanjong Malim, Perak?

Tanjong Malim ialah antara bandar perintis kepada projek bandar belia di Malaysia. Selain Tanjong Malim, bandar belia di Malaysia terletak di Putrajaya, Tuaran (Sabah) dan Lundu (Sarawak). Tapi apa agaknya yang korang boleh expect dengan pengiktirafan ni?
Entri kali ni, aku nak tunjukkan dekat korang, Tanjong Malim semestinya bukan sekadar tentang Pau Sedili – malah lebih lagi! Mestilah ada sesuatu yang menjadikan bandar ni cukup mesra belia macam kita!
Untuk korang yang minat sejarah…
1. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
- Advertisement -
Antara rupa bahagian dalam Muzium Pendidikan Nasional.
Siapa kata UPSI cuma institusi untuk bakal-bakal cikgu semata-mata? Sebab institusi keramat ni, sangat mengalu-alukan kunjungan ilmiah korang untuk memahami dan mendalami nilai sejarah yang tersimpan di sini.
Salah satu yang patut korang lawati ialah Muzium Pendidikan Nasional yang mempunyai 21 galeri kekal. Galeri ni akan membawa korang memahami susur galur pendidikan di Tanah Melayu sehinggalah sekarang termasuk mengenali tokoh-tokoh yang cukup signifikan peranannya dalam lapangan dunia pendidikan negara.
Dan ia juga terbina di dalam sebuah bangunan yang dibangunkan pada 1919, dikenali Bangunan Suluh Budiman. Memang sangat cantik muzium ni! Apalagi, ia diinspirasikan oleh Gereja Notre Dame di France dan Salisbury di England. Bangunan ni pun dah digazetkan sebagai Bangunan Warisan Budaya pada 2009.
Alang-alang dah sampai sini, pastikan korang singgah jugak ke tarikan lain macam Rumah Pendeta Za’ba.
A: Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak.
GPS: 3.685632, 101.525248
T: +6 05 450 6680
W: http://www.upsi.edu.my
Bayaran Masuk: Percuma
Waktu Perkhidmatan: 9 pagi – 4 petang setiap hari
2. Tanjong Malim Street Art
Salah satu lukisan mural yang ada kat sini.
Waktu aku pergi, katanya akan siap sepenuhnya pada Jun 2017. Bermakna masa aku tulis ni mesti dah lagi cantik.
Ini memang tarikan terbaharu di sini. Almaklumlah, kalau sudah namanya bandar belia, mestilah kena ada spot best untuk bergambar supaya boleh dikongsi di laman-laman sosial. Instagram, misalnya.
Di lorong-lorong belakang rumah kedai ni bukan je ada lukisan-lukisan cantik tentang sejarah Tanjong Malim, bahkan ada juga mural kartun yang mesti buat kanak-kanak teruja.
Berdekatan dengan lokasi ini pun ada pasar malam dan tapak gelanggang roller blade!
Tip: Tanjong Malim Street Art ni terletak di tengah bandar ni. Jangan segan tanya lokal untuk tunjukkan lokasinya.
Untuk korang, pencinta alam semulajadi…
3. Ladang Halia Environment Natural Element (ENE)
Aku menanam benih halia siap bertulis nama. Hihi.
Dekat sini, korang boleh lihat dengan lebih dekat penanaman serta pemprosesan halia Bentong. Memang asalnya ditanam di Bentong dan Janda Baik, Pahang. Tapi sebab sekarang ia dah jadi produk komersil dengan permintaan yang tinggi, di Tanjong Malim pun diwujudkan ladangnya. Kalau korang masih belum tau, halia Bentong bersaiz lebih besar berbanding halia biasa dan kualiti nutrisinya juga dikatakan lebih banyak.
Tak cukup dengan tu, korang boleh jugak dapatkan produk-produk kat sini secara segar dan borong
A: ENE Ginger Farm (TM1), Lot 12097, Rizal Jalan Kawasaki, Industri Behrang 2020, Peti Surat 59, 35900 Tanjong Malim, Perak
T: +6 012 370 3082
FB: Environment Natural Element
4. Ulu Slim Hotspring
Aktiviti merebus telur di sini memang satu kemestian!
Tahukah korang yang di Tanjong Malim ada kolam air panas yang mencatatkan bacaan suhu yang tertinggi di semenanjung dan ketiga di Asia? Ia terletak di Kampung Ulu Slim. Suhu tertinggi yang dicatatkan di sini ialah 104 darjah celcius!
Apa yang lagi seronok, korang boleh cuba aktiviti merebus telur di kolam ni. Kalau telur rebus, cuma rendam dalam 5 minit je. Kalau separuh masak, boleh rebus kurang daripada masa tu. Lagi syok makan terus di situ. Jadi ada baiknya korang bawak kicap dan serbuk blackpepper atau apa-apa perasa yang korang suka. Kalau lupa, ada kedai runcit berdekatan. Memang heaven!
Oleh sebab ia bukan disebabkan gunung berapi, maka tak ada bau sulfur yang kuat kat sini. Para pengkaji berpendapat suhu bawah tanah boleh mencecah 1 200 darjah celcius pada kedalaman 10 ribu kaki!
A: Kolam Air Panas Ulu Slim, 35800 Slim River Perak
GPS: 3.898818, 101.497906
Untuk korang yang sukakan cabaran lasak
5. Go-Kart & Akademi Memanah Tg Malim
Kedudukannya betul-betul di bawah jambatan Tanjong Malim.
Aku memang suka aktiviti lasak dan salah satu yang paling aku suka ialah go-kart. Cuma aku taklah profesional sangat pun. Almaklumlah, aku bukan tauke go-kart atau yang kerap ke litar go-kart atas banyak komitmen lain.
Tapi kalau ke Tanjong Malim, korang kena cuba datang sini. Litar ni terletak sangat dekat dengan stesen komuter Tanjong Malim. Dan litar ni pun terletak betul-betul di bawah jambatan gantung. Kelengkapannya juga bagus dan stafnya pun ramah.
Selain go-kart, ada memanah juga. Ruang makan dengan banyak warung-warung selain tempat karaoke mesti akan melengkapkan masa santai korang dengan member-member.
A: Go-Kart & Akademi Memanah Tanjong Malim, Lot 1770, Mukim Ulu Bernam, Tanjong Malim, Perak
Waktu Perkhidmatan: 10 pagi – 7.30 petang setiap hari (kecuali Khamis)
T: +6 017 450 9488
FB: Go-Kart & Akademi Memanah Tg Malim
6. White Water Rafting di Ulu Slim River
Wajah-wajah teruja!
Sedia nak bikin adrenalin korang mengalir sederas aliran air sungai Slim River? Jadi cubalah aktiviti ni! Memang sangat cool! Tahap kesukaran kat sini ialah antara 1 sampai 3. Tapi dalam cuaca tertentu, ia boleh mencecah 4! Dari pengalaman aku sendiri, semakin sukar bermakna semakin awesome!
Sungai Ulu Slim ni terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari Kuala Lumpur. Tapi bila dah sampai, korang kena menaiki pacuan empat roda atau trak selama sejam pulak ke tempat pelepasannya dengan keadaan jalan yang berbatu.
Untuk yang pertama kali, pastikan korang dengar arahan jurupandu dan guide korang dengan baik dan jelas supaya korang akan lebih menikmati aktiviti ni dengan lebih selamat.
A: Chili Rafter Resources, No. 2A, Jalan Makmur 7, Taman Slim Makmur, 35800 Slim River, Perak
T: +6 012 397 8796
IG: @chilirafter
7. Water Tubing, Abseiling & Flying Fox di Teratak Riverview
Yang paling aku cadangkan, mestilah flying fox ni sebab…
Kalau White Water Rafting terlalu mencabar bagi korang, bolehlah buat aktiviti yang tiga ni. Di Teratak Riverview, tiga aktiviti ni memang selalunya satu kemestian yang melengkapkan penginapan korang kat sini.
Kalau disuruh pilih, aku akan cadangkan flying fox. Pengalaman flying fox kat sini memang lain daripada yang lain tau. Mana boleh korang dapat melakukan flying fox sambil terbang antara Perak dan Selangor di tempat lain?
Aku yakin, kalau korang jenis aktif dalam persatuan dan aktiviti lasak, mesti dah pernah sampai ke Teratak Riverview. Dah banyak institusi dan badan kerajaan/swasta yang buat kem bina diri kat sini. Aku sendiri pun dah dua kali. Dan memang tak pernah bosan lakukan aktiviti lasak kat sini. Coach diorang pun bukan setakat terlatih, sempoi pulak tu.