Shaw pemain terbaik United musim ini – Lukaku

0

54

- Advertisement -

LONDON: Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku melabal Luke Shaw sebagai pemain terbaik Red Devils musim ini dan memuji pengaruh Ole Gunnar Solskjaer bagi memperkasa jentera pertahanan.

United mencipta kebangkitan sejak pelantikan Solskjaer sebagai pengurus sementara susulan pemecatan Jose Mourinho pada Disember lalu.

Pengendali dari Norway itu dipuji atas impak yang dicetuskan terhadap bahagian serangan United terutama terhadap penyerang, Marcus Rashford dan Anthony Martial selain pemain tengah, Paul Pogba.

Sejak kehadiran Solskjaer, United menang 11 daripada 14 perlawanan dan meledak 30 gol tetapi prestasi bahagian pertahanan turut cemelrang apabila hanya melepaskan sembilan gol dan mengharungi empat aksi tanpa bolos dalam lima perlawanan terakhir termasuk seri 0-0 dengan Liverpool.

Lukaku merasakan kerja keras yang dilakukan pemain pertahanan patut mendapat pujian dan menyifatkan Shaw sebagai salah seorang pemain yang memainkan peranan penting bagi merealisasikan harapan United untuk menamatkan saingan liga di kelompok empat terbaik.

“Semua orang bercakap mengenai barisan serangan kami menjadi amat bagus, tetapi barisan pertahanan kami juga bermain dengan baik,” kata penyerang dari Belgium itu.

“Chris Smalling yang kembali beraksi untuk beberapa perlawanan terakhir bermain dengan cemerlang dan Luke Shaw bagi saya pemain terbaik musim ini.

“Ashley Young cukup konsisten dan David de Gea adalah penjaga gol nombor satu dunia. Daripada bahagian tengah dan depan, kamu cuba untuk membantu satu sama lain dan memudahkan barisan pertahanan. Kami melakukannya menentang Liverpool dan semuanya adalah mengenai pasukan.”

Menentang pendahulu liga, Liverpool, United terpaksa melakukan tiga penukaran pada babak pertama selepas kehilangan Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard justeru Lukaku bangga dan memuji semangat juang pasukan itu.

“Kamu sentiasa mahu menang perlawanan seperti ini, tetapi bagi kami ia adalah membabitkan kekuatan mental selepas beberapa pemain mengalami kecederaan. Kami perlu menjadi lebih kental.” – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: