41.jpg

- Advertisement -

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mensasarkan tiga mata ketika menentang Manchester United tetapi menegaskan kemenangan di Old Trafford bukan jaminan trofi Liga Perdana Inggeris akan menjadi milik skuad kendaliannya.

Liverpool berpeluang untuk menjarakkan kedudukan kepada tiga mata mengatasi Manchester City di carta liga jika menghadiahkan United kekalahan domestik pertama di bawah kendalian jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Ketika City perlu mengharungi final Piala Liga, pertembungan Liverpool dan United yang masing-masing memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding penyandang juara itu mempunyai kepentingan dalam pemburuan kejuaraan.

Begitupun, pengendali dari Jerman itu mengakui masih banyak perlawanan yang sukar perlu diharungi pasukannya selepas ini dan pemainnya perlu fokus 100 peratus.

“Adakah kami mahu memenangi perlawanan dan memiliki kelebihan tiga mata di depan City, sudah pasti kami mahukannya,” kata Klopp.

“Adakah kemenangan ke atas United lebih bermakna daripada tiga mata? Tidak, kerana kami perlu bermain menentang Tottenham, Chelsea dan pasukan hebat yang lain sebelum musim berakhir.

“Kami sebenarnya mengharungi tiga perlawanan yang besar minggu ini dan United adalah salah satu daripadanya. Selepas itu kami melawan Watford, yang juga pasukan yang amat baik dan berpeluang untuk mengisi kelompok enam terbaik jika lebih konsisten, dan kemudian Everton di tempat lawan.

“Mereka (Everton) akan melayan perlawanan ini seperti final Piala Dunia selepas kami menang di Anfield dengan gol pada minit ke-96. Jika kamu berada di tempat kami, atau hampir di puncak liga atau mencabar gelaran, setiap perlawanan adalah penting.”

Klopp begitupun mengakui prestasi United ketika ini dianggap baik di bawah kendalian Solskjaer dengan kemenangan di gelanggang lawan boleh menjadi sesuatu yang menakjubkan.

“Jika kami boleh kekal kuat sehingga penghujung musim semuanya akan selesai. Kami tidak boleh membenarkan diri kami memberi lebih tumpuan terhadap satu keputusan saja.” – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d