Teknologi telefon pintar HUAWEI lain dari yang lain

- Advertisement -
MENANGKAP gambar bulan menggunakan kamera telefon pintar tidak mudah seperti yang disangka.
Kadangkala gambar yang diambil itu akan pecah kerana kurangnya pencahayaan dan kedudukan bulan yang beratus ribu kilometer jauhnya dari bumi.
Kualiti gambar yang diambil tidak akan sama dengan menggunakan kamera digital DSLR.
Namun keadaan itu mungkin akan berubah apabila HUAWEI memperkenalkan model terbaharunya P30 Series bulan hadapan.
Dalam satu hantaran di laman sosial oleh Pengarah Eksekutif HUAWEI, Richard Yu, beliau berkongsi gambar bulan yang ditangkap menggunakan telefon pintar terbaharunya itu.
Hantaran Yu itu menimbulkan pertanyaan mengenai apakah teknologi yang bakal digunakan HUAWEI kali ini dalam telefon pintar terbaharu mereka.
Telefon pintar terkini dari HUAWEI itu mampu menangkap gambar persis menggunakan kamera digital.
Kebiasaannya jika ingin mengambil gambar bulan, pasti perlu menggunakan kanta zoom dan posisi telefon pintar juga perlu statik, jika bergerak sedikit gambar yang diambil tidak akan menjadi.
HUAWEI memang tidak asing lagi dalam menjadi pelopor teknologi baharu, lihat saja telefon pintar HUAWEI Mate 20 Pro yang dilancarkan pada tahun lalu, ia sarat dengan teknologi terkini dan jauh ke hadapan berbanding telefon pintar jenama lain.
Sudah tentu P30 Series ini lebih hebat berbanding Mate 20 Pro.
Sebagai perbandingan, jenama telefon lain baru saja ingin melancarkan telefon pintar yang menggunakan teknologi sama seperti yang digunakan Mate 20 Pro pada tahun ini sedangkan HUAWEI sudah melancarkannya tahun lalu.
Selain itu, HUAWEI juga dikatakan akan melancarkan teknologi 5Gnya tidak lama lagi dan berkemungkinan besar P30 Series akan turut menggunakan teknologi 5G.
Imbas semula teknologi dalam Mate 20 Pro, sebagai perbandingan, walaupun tugas hakikinya adalah sebagai telefon pintar tetapi ia didatangkan dengan teknologi kamera yang terkini.
Malah teknologi HUAWEI ini jauh melangkaui teknologi beberapa syarikat pengeluar telefon pintar lain yang baru ingin mengeluarkan telefon pintar dengan teknologi sebegitu pada tahun ini.
Mate 20 Pro didatangkan dengan cip prosesor Kirin 980, menjadikan model ini sebagai peneraju teknologi kecerdasan buatan (AI) mobil.
Tidak hairanlah jika ramai yang menyatakan HUAWEI Mate 20 Pro sebagai telefon pintar paling hebat teknologinya dengan harga yang masih berada di tahap mampu milik.
Mate 20 Pro yang hadir dengan tiga kamera di bahagian belakang serta sensor cap jari dalam paparan dan peranti ini sama seperti model sebelumnya tidak mempunyai penyambung fon kepala, tetapi diiktiraf IP68.
Selain itu, ia juga menggunakan ciri pengecasan tanpa wayar yang dikatakan lebih pantas berbanding jenama terkemuka dari Eropah.
Mate 20 Pro menampilkan paparan OLED 6.39 inci dan meletakkan pengesan cap jarinya di dalam skrin.
Teknologi pengesan cap jari ini sudah lama diperkatakan tetapi masih tiada lagi pengeluar telefon pintar yang merealisasikan perkara itu.
Jika ada pun, ianya akan dilancarkan pada tahun ini, yang dikatakan akan menjadi antara tahun penting kepada pengeluar telefon pintar.
Tetapi HUAWEI sudah menjadikan perkara itu satu kenyataan, lebih kehadapan berbanding jenama telefon pintar lain.
Penggunaan cip prosesor Kirin 980 membantu meningkatkan kecekapan dan memproses dengan baik tanpa memberi kesan kepada jangka hayat bateri.
Terdapat dwi enjin neural Huawei di dalam Kirin 980 yang dikatakan mampu meningkatkan AI sebanyak 134 peratus.
Paling menarik, HUAWEI Mate 20 Pro memnpunyai fungsi Video AI Editor, yang membantu mengenal pasti wajah (gambar/video dalam galeri) dan membuat video berdasarkan pengecaman wajah itu.
Tidak perlu menjadi penyunting video untuk menghasilkan video pendek yang menarik dengan pantas.
Selain itu ia juga mempunyai Master AI 2.0, fungsi pengecaman lokasi dan objek. Ia mampu mengecam sebanyak 1,500 lokasi dalam 25 kategori.
Disebabkan 2019 adalah tahun penting kepada pengeluar telefon pintar, gergasi teknologi dari China ini pasti berada satu langkah ke hadapan berbanding pesaingnya dan P30 Series dikhabarkan akan dilengkapi dengan teknologi lebih canggih.
HUAWEI P30 Series akan diperkenalkan ke pasaran pada 26 Mac ini di Paris. Walaupun ia masih lama lagi, pemerhati dan pakar teknologi sudah tidak sabar untuk menunggu apakah lagi ‘keunikan’ yang akan ditampilkan HUAWEI dalam model baharunya kali ini.