21

Van komersial utama Toyota – Hiace – generasi sedia ada sudah pun berada 15-tahun dalam pasaran, dan kini model gantiannya telahpun didedahkan secara rasmi oleh jenama Jepun tersebut di Filipina hari ini. Model generasi keenam berkenaan bukan sahaja tampil dengan gaya baharu, malah ia turut mendapat pelbagai teknologi terkini serta enjin yang lebih berkuasa.

Berbanding model-model sebelumnya, Hiace baharu ini buat pertama mula menampilkan rupa yang mempunyai muka yang terkeluar seperti pesaing-pesaing lain misalnya Ford Transit dan Mercedes-Benz V-Class. Ini secara tidak langsung membuat Hiace kelihatan seperti MPV mewah Toyota Vellfire jika dilihat sekali imbas.

Maklumat penuh belum didedahkan oleh Toyota berkenaan van ini, jadi tidak dapat dipastikan sama ada ia masih memacu roda belakang, atau kedudukan enjinnya telah diubah melintang bagi memacu roda hadapan. Tetapi menurut Toyota, bahagian muka yang panjang pada Hiace baharu ini membolehkan ia diselenggara dengan lebih mudah.

22.jpg

Dua enjin ditawarkan untuk Van ini iaitu enjin turbodiesel 2.8 liter empat silinder (mungkin diambil dari Hilux) dan juga enjin petrol 3.5 liter V6. Kedua-dua enjin ini akan dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik.

Ia dibina berasaskan platform baharu yang lebih keras serta mempunyai prestasi jalan lurus lebih baik dan kestabilan lebih tinggi, dakwa Toyota. Bahagian hadapan van ini diberikan suspensi jenis Topang McPherson menawarkan pengendalian dan kestabilan lebih baik. Manakala di belakang pula spring jenis dedaun model ini telah dipanjangkan lagi 200 mm, bersama strok 30 mm lebih jauh bagi memberikan lebih keselesaan.

Hiace generasi baharu ini hadir dalam dua bentuk badan iaitu Bumbung Normal/Standard dan Panjang/Bumbung Tinggi – kedua-duanya mempunyai dimensi lebih besar model generasi sebelumnya. Model Bumbung Normal/Standard diukur dengan 5,265 mm panjang (+570 mm), 1,950 mm lebar (+255 mm), 1,990 mm tinggi (+10 mm) dan jarak roda 3,210 mm (+640 mm).

Manakala varian Panjang/Bumbung Tinggi pula mempunyai dimensi 5,915 mm panjang (+535 mm), 1,950 mm lebar (+70 mm), 2,280 mm tinggi (-5 mm) dan jarak roda 3,860 mm (+750 mm). Toyota menyeraikan 29 konfigurasi tempat duduk secara keseluruhan untuk semua versi, dan ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Van, Tourism dan Commuter, dengan varian paling besar mampu memuatkan maksimum 17 orang .

Van generasi baharu itu turut dijangka bakal menerima penarafan keselamatan lima-bintang penuh menerusi struktur badan lebih kuat serta dilengkapkan dengan teknologi keselamatan terkini seperti sembilan-beg udara, sistem amaran pra-pelanggaran bersama sistem brek kecemasan automatik, serta pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal.

Selain itu, Van ini juga diberi kamera undur serta opsyen cermin pandang belakang digital yang membolehkan pandangan luas dipaparkan tanpa halangan dari perehat-perehat kepala, para penumpang dan juga kargo.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.