Selebriti Malaysia- Lisa Surihani

- Advertisement -
Lisa Surihani binti Mohamed (lahir 23 Mac 1986) atau lebih dikenali sebagai Lisa Surihani ialah seorang pelakon, model, pengacara televisyen dan jurucakap produk Malaysia. Beliau mula bergiat aktif dalam dunia hiburan tanah air sejak 1997 ketika berusia 11 tahun menerusi iklan Ovaltine yang menjadi kemunculan sulungnya di televisyen. Penampilan pertama Lisa di layar kaca ialah menerusi drama Gergasi (2002), seterusnya membuat kemunculan sulungnya di layar lebar pada 2006 menerusi peranannya sebagai Lara dalam filem Goodbye Boys arahan Bernard Chauly, sebelum meraih pengiktirafan meluas menerusi filem I’m Not Single (2008) yang melayakkanya menerima anugerah Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-22.
Selepas I’m Not Single, Lisa muncul dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak (2009) sebagai Mustika Sudirman, filem aksi 2010 V3: Samseng Jalanan yang mana watak Kamsah lakonannya telah melayakkan beliau menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23. Filem lakonannya Lagenda Budak Setan yang mana Lisa memegang watak utama sebagai Ayu, telah melayakkannya menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM 23 dan Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.
Sepanjang kerjaya lakonannya, Lisa telah bekerjasama dengan ramai rakan seangkatannya, termasuk Farid Kamil, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Nur Fazura dan Maya Karin. Bagi peranannya sebagai duta dan jurucakap produk, Lisa telah menjadi duta dan jurucakap bagi pelbagai jenama dan produk termasuk Lip Ice Sheer Color, Freshlook, Rexona, DiGi, Garnier, Sofy BodyFit dan Marigold Peel Fresh. Sebagai pengacara, beliau telah mengacarakan program televisyen termasuk Down Memory Lane (RTM), Mari Menari (Astro Ria) dan HBO Sentral (HBO Asia). Beliau berkahwin dengan Yusry KRU pada 23 Februari 2012 dan kini dikurniakan dua cahayamata. Pada Februari 2017, Lisa dilantik sebagai Duta Muhibah UNICEF Malaysia.
2015–kini: Suamiku Encik Perfect 10, Cicakman 3 dan e-bu Babypedia
Lisa memulakan lembaran 2015 dengan filem terbaru lakonannya, Suamiku Encik Perfect 10[62][63] yang sekali lagi memperlihatkan beliau berimej muslimah sekaligus menggandingkannya bersama pelakon kacak Aaron Aziz buat kali kedua. Kali terakhir mereka Lisa dan Aaron berlakon bersama ialah pada 2011 menerusi filem Ombak Rindu arahan Osman Ali. Dalam filem arahan Mohd Feroz Abdul Kader ini, Lisa melakonkan watak Aleeya Azmeen, seorang pelajar yang terpaksa berlakon sebagai pasangan suami isteri dengan Zarief Daniel selama seminggu di Malaysia selepas memgandungkan anak bersama teman lelakinya. Seterusnya, Lisa muncul dalam filem lakonannya bersama Zizan Razak, Cicakman 3 arahan suaminya Yusry KRU dan arahan bersama oleh Ghaz Abu Bakar, menemui penonton di pawagam pada 12 Mac 2015, beliau menggantikan Fasha Sandha yang berlakon dalam dua filem terdahulu, dan memegang watak sebagai Linda, isteri kepada Man/Cicakman.
Selepas Suamiku Encik Perfect 10 dan Cicakman 3, Lisa muncul pula menerusi filem muzikal arahan Osman Ali bertajuk Sinaran yang menggabungkan tiga negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Filem yang dinamakan sempena lagu nyanyian Datuk Sheila Majid dengan judul sama ini ditayangkan pada 26 November 2015 turut dibintangi oleh Izara Aishah, pelakon Singapura Syarif dari kumpulan Sleeq dan pelakon Indonesia, Evan Sanders, dalam filem ini, Lisa melakonkan watak Shila, pelajar baharu kolej yang belajar mengenai cabaran dalam menjalani kehidupan dan dalam perhubungan cinta. Filem ini merupakan filem kedua Lisa di bawah arahan Osman selepas Ombak Rindu dan ia juga memerlukan beliau belajar menari.
Pada April 2016, beliau bersama suami, Yusry mengacarakan rancangan e-bu Babypedia di saluran Astro Ria, sebuah rancangan yang menyingkap perjalanan saat manis Lisa dan Yusry bergelar ibu dan bapa dan mengupas kebenaran yang terselindung disebalik tradisi yang terdapat di seluruh dunia. Pada majlis pelancaran e-bu Babypedia, Lisa dan Yusry tidak berhasrat memberi hak eksklusif kepada mana-mana stesen televisyen termasuk Astro untuk mendedahkan gambar anak sulung mereka Yahaira Leanne.
Pada 14 Mei 2016, Lisa membintangi bersama pelakon senior Didie Alias dan aktor yang sedang meningkat naik, Syafiq Kyle dalam telefilem berjudul Syahadah Yang Hilang arahan Ghaz Abu Bakar yang berkisarkan mengenai seorang wanita tua yang merupakan bekas penari istana yang membela saka. Ia bersiaran menerusi slot Karya 12 di Astro Citra. Beliau meneruskan rentetan kerjasama dengan Bernard menerusi telefilem Kontena Ana yang memulakan tayangan perdana menerusi slot Citra Exclusive di Astro Citra dan Astro Mustika HD pada 12 Ogos 2017, berlatarbelakangkan tahun 2001 di Miri, Sarawak, di mana perceraian melalui SMS berlaku kepada Ana dan dia bertekad untuk membetulkan keadaan. Ini menjadikan Lisa satu-satunya pelakon telefilem ini, yang mana beliau turut mengolah jalan cerita (boleh dirujuk menerusi kredit telefilem ini). Beliau bersama suaminya mengacarakan e-bu Babypedia musim kedua.
Lisa dan suaminya, Yusry berangkat ke Sepanyol bagi menjalani penggambaran muzik video “Abang Nak Tegur” nyanyian usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman dan Nur Sajat. Muzik video ini mendandakan percubaan sulung Lisa di belakang tabir sebagai kru penerbitan, yang mana beliau berkhidmat sebagai Pembantu Penerbitan dan Pembantu Pengarah Kedua. Pada Mac 2018, Lisa dan suami menjadi tetamu jemputan rancangan terbitan ntv7 Kata Serasi, yang dihoskan oleh Diana Danielle dan Nazrudin Habibur Rahman.
Lisa muncul dalam drama Jibril arahan Megat Shahrizal yang diterbitkan untuk platform digital oleh Viu dengan kerjasama Media Prima Berhad; memegang watak sebagai Mona. Pelakon lain yang terlibat termasuk Tony Eusoff, Aeril Zafrel, Zahiril Adzim dan Sangeeta Krishnasamy.