39

LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menjangkakan pasukannya akan ‘menderita’ menentang kelab divisyen empat, Newport County pada pusingan lima Piala FA, esok.

Begitupun, pengurus itu menggesa pemainnya supaya mengadaptasi perlawanan di permukaan padang permainan yang berkualiti seperti di Rodney Parade.

Skuad kendalian Michael Flynn, Newport, yang ketika ini menghuni tangga ke-15 Liga Dua mencipta nama sebagai ‘pembunuh gergasi’ dalam kempen Piala FA musim ini dengan antara pasukan menjadi mangsa mereka ialah Leicester City dan Middlesbrough.

“Kami akan menderita kerana mereka lebih tinggi dan kuat berbanding kami. Di beberapa kawasan mereka akan lebih bagus berbanding kami,” kata Guardiola ketika sidang media.

“Kami melakukan persiapan dengan penuh rasa hormat atas apa yang mereka lakukan dalam kejohanan ini, menewaskan Leicester dan Boro. Apa yang mereka lakukan, mereka lakukan dengan amat baik.

“Mereka sudah bersedia, ini bukan kali pertama mereka mereka bermain dalam saingan piala menentang pasukan divisyen bawahan. Kami akan mengharunginya dengan amat serius, saya amat yakin dengannya.”

Skuad bernilai jutaan ringgit City, yang kebiasaannya bermain di padang yang berkualiti di Etihad dan beberapa venue Liga Perdana Inggeris lain dijangka menempuh cabaran unik di Rodney Parade, yang turut menjadi gelanggang bagi dua pasukan ragbi di Wales.

Guardiola mengakui sukar untuk pasukannya menggunakan corak permainan hantaran seperti kebiasaan tetapi berkata mereka sudah menemui jalan penyelesaian.

“Saya sudah melihat beberapa perlawanan di sini pada era 70-an dan 80-an dan kesemua padangnya adalah buruk. Kini hampir semuanya sempurna. Ia adalah perbezaan dengan England ketika ini, kamu boleh bermain dengan cara yang berbeza, yang sebelum ini adalah mustahil.

“Kami akan melihat keadaan padang esok dan kami perlu mengadaptasi, kami perlu bermain hantaran jauh atau pantas, kita akan cuba lihat. Kamu tidak boleh menang dengan mengadu. Mereka adalah pemilik dan kamu perlu mengadaptasi.” – Reuters

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.