04.jpg

Nur Fazura Binti Sharifuddin (lahir 27 September 1983) atau lebih dikenali sebagai Nur Fazura (beliau juga dikreditkan sebagai Fazura Sharifuddin atau Fazura sahaja) merupakan seorang pelakon, pengacara, model, penyanyi dan VJ wanita Malaysia. Beliau memulakan kerjaya dalam industri hiburan Malaysia dengan menjadi hos rancangan televisyen dan beberapa peranan lakonan kecil. Beliau merupakan pengacara rancangan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Teens World. Pada tahun 2004, beliau melancarkan kerjaya filem beliau dengan memainkan peranan utama dalam filem Bicara Hati arahan Rosnani Jamil yang melayakkan beliau menerima pencalonan anugerah. Kemudian pada tahun 2005, beliau membintangi watak utama sebagai Putri dalam filem Gol & Gincu.

Fazura dikenali sebagai salah seorang selebriti yang paling bergaya di Malaysia menurut kebanyakan majalah hiburan dan fesyen dan sering muncul dalam majalah yang “bergaya” dan “menawan”. Sehingga 2017, Beliau telah berlakon sebanyak 16 filem dan beberapa siri TV dan telefilem serta menjadi pengacara beberapa program televisyen. Beliau juga menjadi juri di rancangan televisyen komedi Maharaja Lawak Mega.

Sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, Fazura telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular 2016, juga pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-17 bagi kategori Pelakon Harapan Wanita menerusi filem Bicara Hati dan Festival Filem Malaysia ke-28 bagi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Manisnya Cinta di Cappadoccia. Anugerah lain yang dimenanginya termasuk Anugerah Skrin, Anugerah Shout! dan Anugerah MeleTOP Era. Bagi peranannya sebagai duta dan jurucakap produk, Fazura telah menjadi jurucakap bagi pelbagai produk seperti Pantene, Nutox dan Lux.

Beliau juga berjinak-jinak dalam bidang nyanyian apabila beliau merakamkan single sulungnya, “Sayangi Dirimu” pada 14 Disember 2014, yang menjadi lagu tema rancangan dokumentari biografinya, Facing Up To Fazura yang bersiaran di saluran E!. Fazura melancarkan album solo pertamanya pada 2 November 2017.

2017–kini: J Revolusi, Hero Seorang Cinderella dan album pertama

Fazura melengkapkan portfolio kerjayanya bagi tahun 2017 dengan cabaran baru dalam memantapkan bidang nyanyian. Pada Februari, beliau mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia yang turut menguruskan perjalanan beliau termasuk kontrak sebagai duta dan lain-lain. Beliau juga diuruskan oleh 360 Talent Management, selain itu, Fazura tampil dengan sebuah single duet bersama juara program The Voice Filipina iaitu Jason Dy menerusi lagu “Nothing Like Pag-Ibig”. Lagu duet bersama Jason itu boleh didapati di aplikasi iTunes dan Spotify, dilancarkan bersama muzik video rasmi sempena hari kekasih pada 14 Februari. Fazura dilaporkan berhasrat bakal beraksi di Broadway suatu hari nanti.

Filem terbaru lakonan Fazura, J Revolusi menemui penonton di pawagam pada 2 Mac 2017, dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Dian, kakak kepada Jay Zulkarnain lakonan Zul Ariffin. Filem terbitan bersama Grand Brilliance dan Infinitus Productions ini turut dibintangi oleh Izara Aishah, Farid Kamil dan Azad Jasmin.

Pada April, selepas 4 tahun tidak berlakon dalam mana-mana drama TV, Fazura kembali ke layar kaca dengan bergandingan bersama Fattah Amin menerusi drama 24 episod Hero Seorang Cinderella arahan Michael Ang. Kali terakhir beliau berlakon drama ialah pada 2013 menerusi drama Kisah Cinta lakonan bersama Shaheizy Sam. Beliau dilaporkan menggantikan Neelofa yang menarik diri kerana mempunyai urusan lain, Fazura ialah antara nama yang melakonkan watak Cinderella, selain Janna Nick, Nur Fathia dan Emma Maembong. Pada Mei, Fazura dan Fattah merakamkan lagu tema drama itu, bertajuk “Cinderella” hasil nukilan penyanyi dan komposer muda Aizat Amdan.

Pada September 2017, Fazura berkunjung ke New York, Amerika Syarikat bagi menyertai Minggu Fesyen New York dan berpeluang berjumpa dan mengembangkan hubungannya dengan pelbagai pereka fesyen dunia dan selebriti antarabangsa. Gambar dan video yang dimuat naik dalam laman Instragramnya menunjukkan pertemuan beliau bersama bintang Hollywood terkenal, Selena Gomez menarik perhatian netizen dan media massa. Penampilan beliau juga mendapat pujian daripada Gomez.

Fazura melancarkan album studio pertamanya, menggunakan namanya sebagai judul album dan mencatat sejarah tersendiri apabila dijual sebanyak 5,000 unit. Pencapaian itu membolehkan beliau menerima anugerah emas daripada syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia. Album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu memuatkan sembilan lagu, antaranya “Bangun”, “Bisa Apa”, “Cinderella”, “Cinta Langka”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Only God Knows”. Single pertamanya, “Sayangi Dirimu”, yang dirakam semula dalam bentuk akustik juga dimuatkan dalam album itu.

Pada 21 Disember 2017, Fazura bersama pelakon kacak Bront Palarae membintangi filem drama keagamaan Indonesia, Ayat-Ayat Cinta 2 arahan Guntur Soerhardjanto. Dalam filem ini yang merupakan kesinambungan filem pertama yang ditayangkan pada 2008, Fazura memegang watak Brenda. Filem ini ditayangkan di pawagam Malaysia pada 11 Januari 2018.

Fazura meneruskan kolaborasi terbaru bersama pengarah Bernard Chauly dalam telefilem Janji Zehan yang tajuk asalnya ialah Lahzeye Bi Payan (Dalam Satu Detik Masa Yang Tiada Pengakhirannya) yang turut diarahkan bersama oleh Zabrina Fernandez. Ia bersiaran di Astro First Eksklusif Saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ pada 14 Februari 2018. Ia mengisahkan tentang percintaan dua individu yang baru berkahwin dan berbeza latar belakang, bahasa serta budaya. Fazura memegang watak sebagai Nur Zehan Nazleen.

Pada 18 Mac 2018, Fazura mengadakan persembahan di konsert beliau, One Music Live Session: Fazura yang diadakan di Clarke Ballroom, Hotel Le Meridien Kuala Lumpur. Beliau menyampaikan lapan buah lagu baru dan lama yang dimuatkan dalam album pertamanya yang dilancarkan pada 3 November 2017, konsert yang diadakan selam sejam ini dihadiri 400 peminat.[109] Antara rakan artis yang berduet dengannya termasuk suaminya Fattah Amin menerusi lagu “Cinderella” dan Aizat Amdan dengan lagu “Cinta Langka”.

Kesinambungan filem Gol & Gincu, Gol & Gincu Vol. 2 ditayangkan pada 25 Oktober 2018. Fazura dilaporkan menarik diri dari membintangi filem itu dalam satu temuramah bersama Astro Awani: “Saya tahu ramai tertanya-tanya kenapa saya tidak terlibat dalam Gol & Gincu kali ini. Ini kerana pada saya, watak Putri sudah tamat. Sekarang saya mahu beri peluang kepada pelakon baru yang hebat dan berbakat seperti Diana Danielle dan Ummi Nazeera untuk bawa cerita ini sesuai dengan generasi sekarang,”. Menurut Diana Danielle yang memegang watak Zak dalam Gol & Gincu Vol. 2, “Ia cerita yang lain. Tiada siapa pun yang dapat menggantikan Fazura dan bagi saya sangat sensitif untuk menggantikan dia kerana ia satu fenomena dalam Gol & Gincu,”.

Pada 18 Januari 2019, Fazura melancarkan single terbarunya, “Can’t Forget Me” yang berjaya menduduki carta iTunes dalam masa 7 jam selepas pelancarannya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.