62

- Advertisement -

MANCHESTER: Manchester United terpaksa melupakan Anthony Martial dan Jesse Lingard bagi aksi Piala FA menentang Chelsea, Isnin ini selepas kedua-duanya dihimpit masalah kecederaan ketika pertemuan dengan Paris Saint-Germain (PSG).

Kedua-dua pemain itu dijangka turut terlepas aksi menentang Liverpool di Old Trafford dalam kempen Liga Perdana Inggeris pada 24 Februari dan bertarung dengan masa untuk pulih bagi aksi kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang PSG di Paris pada 7 Mac.

“Saya fikir mereka akan tersisih selama dua ke tiga minggu,” kata pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer.

Martial mengalami masalah kecederaan pangkal paha di awal permainan menentang PSG yang menjadi kekalahan pertama Solskjaer di United tetapi terus beraksi sehingga babak pertama berakhir sebelum digantikan.

Pemain antarabangsa England, Lingard pula berdepan masalah hamstring pada penghujung babak pertama.

United jelas memerlukan khidmat kedua-dua pemain berkenaan selepas gawang mereka dibolosi PSG sebanyak dua kali selepas rehat menerusi Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe.

Keputusan itu menyaksikan United berdepan tugasan besar di Paris untuk mara ke peringkat lapan terbaik Liga Juara-Juara dengan Alexis Sanchez sekali lagi bergelut untuk mencipta impak selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Penyerang Belgium, Romelu Lukaku dan Sanchez dijangka akan disenarai dalam kesebelasan utama di Stamford Bridge tetapi Solskjaer tidak menolak untuk menggunakan prospek muda Angel Gomes dan Tahith Chong yang sudah menjalani latihan bersama skuad utama.

“Kami masih mempunyai pilihan di bahagian serangan tetapi Angel dan Chongy sudah berlatih bersama kami sepanjang minggu jadi peluang mereka cerah untuk terbabit,” kata Solskjaer.

“Ia adalah peluang untuk semua orang yang bermain, Alexis, Romelu, Chongy atau Angel. Anthony dan Jesse bermain dengan cukup baik sebelum ini. Mereka penting dalam jentera serangan kami, sudah tentu dengan sumbangan dan kepantasan mereka.” – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: