Selebriti Malaysia- Nora Danish

- Advertisement -
Nora binti Mohd Danish Hanif (lahir 7 Mac 1982) atau lebih dikenali sebagai Nora Danish ialah seorang pelakon wanita Malaysia. Beliau terkenal dengan memegang watak utama Puteri dalam siri komedi Puteri. Beliau juga terkenal dengan peranan televisyen seperti Sumpah Bunian, Khurafat The Series, Ana lu’lu, Tentang Dhia dan Ariana Mikhail.
Nora mempunyai beberapa peranan filem terkenal seperti Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita (2006), Cuti-Cuti Cinta (2010), Seru (2011), Aku Terima Nikahnya (2012), Lagenda Budak Hostel (2013) dan Surga yang Tak Dirindukan 2 (2017).
Kehidupan awal
Nora dilahirkan pada 7 Mac 1982 di Kuala Terengganu, Terengganu kepada ibu bapanya, Mohd Danish Hanif dan Saimah Talib. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang kesemuanya perempuan. Beliau mendapat pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent di Kajang, Selangor di mana beliau lulus Sijil Pelajaran Malaysia.
Kerjaya
2011–kini
Nora digandingan bersama Zahiril Adzim dalam siri drama Khurafat The Series, adaptasi daripada filem Khurafat arahan Syamsul Yusof yang disiarkan pada 12 Julai 2011 di Astro Ria, Nora memegamg watak sebagai Mastura. Nora berpasangan bersama Ady Putra dalam filem romantik Aku Terima Nikahnya arahan sulung Eyra Rahman yang ditayangkan pada 11 Oktober 2012. Juga pada 2012, Nora digandingkan bersama penyanyi dan pelakon Syed Hussein dalam drama waktu perdana Ariana Mikhail di TV9.
Pada 2013, beliau berlakon dalam tiga filem serentak—Lagenda Budak Hostel, Mencari Cinta dan 2 Kalimah. Pada Jun 2014, selepas kali terakhir membintangi dua filem terdahulu (Cuti-Cuti Cinta dan Bencinta), Nora digandingkan sekali lagi bersama Farid Kamil dalam filem seram Pengantin Malam arahan Eyra Rahman. Beliau mendedahkan beberapa ulasan di akaun Instagram rasmi beliau mengenai filem ini. Nora memegang watak Maya, isteri kepada Razif yang sering kali diganggu kejadian mistik sehingga menyebabkan hidupnya sengsara dan dan hilang ingatan.
Nora digandingkan kembali bersama Ady Putra dalam filem romantik Suami Aku Ustaz arahan Ghaz Abu Bakar, ditayangkan pada 14 Mei 2015. Filem yang diadaptasikan daripada novel dengan tajuk yang sama hasil nukilan Hannah Dhaniyah mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah menengah, Alisa yang dipaksa untuk berkahwin dengan sepupunya dan guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz.
Bekerja di bawah arahan Ghaz Abu Bakar, Nora berlakon bersama Zizan Razak dan Shaheizy Sam dalam filem aksi Polis EVO, beliau memegang watak sebagai Anis. Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mendapat ulasan positif daripada pengkritik filem. Nora kembali bekerja di bawah arahan Ghaz menerusi telefilem Lampu Merah yang diterbitkan untuk Karya 12 Astro Citra; Nora memegang watak gadis psiko yang mengejar seorang pemandu Uber. Ia turut dibintangi oleh personaliti media sosial popular, Ucopp.
Nora tampil berkolaborasi bersama penyanyi W.A.R.I.S menerusi lagu single “Ini Lagi Boom” terbitan KRU Music yang dikeluarkan pada 9 Januari 2017.
Beliau membintangi bersama pelakon Indonesia, Fedi Nuril dan Laudya Chintya Bella dalam filem drama keagamaan Surga yang Tak Dirindukan 2 arahan Hanung Bramantyo yang mana beliau memegang watak sebagai Sheila. Filem ini menandakan penampilan filem Indonesia pertama Nora.
Nora digandingkan bersama Syamsul Yusof dalam filem drama biografi romantik Makrifat Cinta arahan Kamal G, beliau memegang watak sebagai Sofea. Filem ini ditayangkan pada 1 Februari 2018. Beliau menjayakan peranan utama sebagai Dewi dalam filem drama hasil kerjasama Malaysia dan Indonesia, Bukan Cinta Malaikat arahan Aziz M. Osman dan Herdanius Larobu yang ditayangkan pada 25 Januari 2018. Filem ini turut dibintangi oleh Ashraf Muslim, Fachry Albar dan Donita.
Pada 19 April 2018, The Malay Mail melaporkan bahawa Nora akan kembali aktif berlakon selepas Hari Raya Aidilfitri. Beliau menjadi pengacara jemputan untuk MeleTOP bersama Nabil Ahmad di Astro Ria pada 17 Julai 2018.
Nora kembali digandingkan bersama Kamal Adli menerusi telefilem Hingga Jumpa Lagi yang memulakan tayangan perdana di Astro Citra pada 17 November 2018.