Pelancongan Di Muar

- Advertisement -
Muar, salah satu daerah di dalam negeri Johor Darul Takzim (JDT) kaya dengan keunikan tersendiri. Setelah diisytihar sebagai Bandar Diraja pada tahun 2012, Muar masih mengekalkan sejarah berharga yang layak dikunjungi semula. Juga dikenali sebagai Bandar Maharani, bandar bersejarah ini mempunyai tarikan alam semula jadi yang istimewa seperti misteri Gunung Ledang dan pemandangan cantik di Pantai Leka. Tambahan pula jika anda seorang penggemar makanan, Muar menyajikan makanan tempatan yang enak untuk sarapan pagi hingga ke makan malam yang pasti sesuai dengan selera anda.
Jadi, kalau anda masih ragu ragu untuk berkunjung ke Muar, di bawah kami senaraikan 10 tempat menarik di Muar. Kami akan menceritakan lebih lanjut tentang keunikan Muar dan bagaimana keunikan tersebut mampu memberi pengalaman berharga buat anda.
10. Taman Tanjung Emas
Beralih kepada tempat menarik di Muar, jika anda berada di sekitar bandar Muar, anda boleh mulakan dengan berkunjung ke Taman Tanjung Emas. Sebuah taman rekreasi yang terletak di muara sungai Muar, pengunjung yang dapat menikmati pemandangan laut Selat Melaka. Replika durian gergasi (replika kebiasaan di sekitar bandar utama di negeri Johor) akan menyambut para pengunjung apabila mereka tiba di taman tersebut. Di sini terdapat sebuah medan selera yang menyajikan hidangan asam pedas yang sangat enak. Pengunjung juga dapat melakukan aktiviti riadah kerana pelbagai peralatan riadah disediakan di samping kemudahan awam yang lain. Persekitaran taman yang bersih dan nyaman ini amat sesuai untuk aktiviti keluarga pada hujung minggu atau riadah petang.
Lokasi: Taman Sri Tanjung, 84000 Muar
9. Sungai Muar
Jika anda sudah ke Taman Tanjung Emas, tidak salah untuk anda mencuba aktiviti boat cruising di sepanjang Sungai Muar. Pembelian tiket boleh dibuat di Jeti Tanjung Emas. Tour yang mengambil masa selama 45 minit hingga 1 jam ini bermula di jeti tersebut dan akan menyusuri Sungai Muar. Sepanjang pelayaran, pengunjung dapat melihat Bandar Muar dari pandangan yang berlainan dan lebih istimewa. Pengunjung boleh menempah tour pada waktu petang apabila matahari hampir terbenam untuk menikmati pemandangan yang lebih indah. Selain itu, bagi yang ingin melihat kelipan kunang-kunang pada waktu malam, anda juga boleh membuat tempahan tiket di tempat yang sama. Namun begitu, anda hanya berpeluang untuk merasai pengalaman ini pada hari Sabtu atau Ahad sahaja.
8. Taman Tanjung Ketapang
Masih di kawasan sekitar, terdapat sebuah taman bernama Taman Tanjung Ketapang. Taman ini yang juga merupakan sebuah kawasan rekreasi mempunyai kawasan hutan bakau yang merupakan rumah kepada monyet dan pelbagai binatang liar lain yang tidak berbahaya kepada para pengunjung. Anda boleh bersiar-siar di dalam kawasan hutan bakau tersebut kerana terdapat landasan yang disediakan. Taman ini juga antara lokasi menarik untuk anda menikmati pemandangan matahari terbenam. Selain akitiviti riadah, penduduk tempatan juga selalu melakukan aktiviti memancing di sekitar taman ini.
Lokasi: Taman Tanjung Ketapang, Jalan Timbalan, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar
7. Ladang Herba Nasuha
Jika anda seorang yang gemar ke spa, anda boleh melawat Ladang Herba Nasuha yang terletak 19km daripada bandar Muar. Ladang yang berkeluasan lebih 1500 hektar ini mengandungi 135 jenis herba berlainan yang datang dari seluruh dunia. Ladang ini ada menjual produk tempatan seperti minuman herba teh di samping menjual produk rempah ratus yang lain kepada pengunjung. Keunikannya, anda juga boleh membuat aktiviti lain jika anda datang ke sini.
Selain penjualan herba dan rempah ratus, tempat ini ada menyediakan restoran dan spa herba yang sangat istimewa. Restoran yang menyajikan hidangan yang mengandungi herba segar dari ladang, akan memberi kepuasan dan keselesaan kepada pengunjung yang datang di samping suasana restoran yang elegan dan unik dengan lantainya yang dibuat dengan batu kecil refleksologi untuk tujuan kesihatan. Tambahan pula, ladang ini ada menyediakan perkhidmatan penginapan kepada para pengunjung. Anda boleh membuat pilihan sama ada mahu berkhemah atau menempah resort yang telah disediakan. Bagi yang ingin menjalankan aktiviti seminar atau kem motivasi, di sini juga terdapat kemudahan seperti dewan dan bilik seminar di samping pakej aktiviti untuk melawat kawasan sekitar ladang dan aktiviti meredah hutan. Anda boleh melayari laman web mereka untuk keterangan lebih lanjut.
Lokasi: Batu 12, Jalan Muar Pagoh, 84500 Muar
6. Kolam Air Panas Sungai Gersik
Antara tarikan unik lain di Muar ialah Kolam Air Panas Sungai Gersik. Kolam ini yang terletak dekat dengan Pekan Parit Jawa, merupakan sebuah kolam air panas semula jadi. Kolam ini bersuhu antara 50-70 darjah Celsius dan dipercayai bagus untuk kesihatan para pengunjungnya. Akses percuma diberikan kepada para pengunjung tempatan mahupun luar. Persekitaran bersih yang dijaga dengan rapi dan perkhidmatan awam yang disediakan menjadikan kolam ini kawasan yang padat dan penuh dengan orang ramai pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Lokasi: J142, Kampung Sungai Gersik, Parit Jawa, 84150 Muar
5. Pantai Leka
Masih di sekitar luar bandar Muar, anda boleh berkunjung ke Pantai Leka yang terletak di Parit Jawa. Pantai yang mempunyai kampung nelayan ini menjanjikan pemandangan yang amat cantik terutamanya ketika matahari terbenam. Pantai Leka ini juga merupakan kawasan perlindungan burung di mana burung berhijrah. Syurga kepada yang suka mengambil gambar, Pantai Leka menjanjikan pemandangn kampung nelayan berlatarkan suasana matahari terbenam di samping spesis burung unik yang dapat dibuat koleksi yang sangat berharga. Terdapat juga kawasan hutan bakau yang kaya dengan hidupan liar. Dan jika anda lapar setelah penat seharian berjalan, anda boleh menikmati hidangan asam pedas (ya, masih lagi asam pedas) di medan selera di sini sambil menikmati bayu laut dan pemandangan Selat Melaka.
Lokasi: Jalan Jabbar, 84150 Parit Jawa
4. Jambatan Sultan Ismail
Dan jika anda masih di bandar Muar, anda boleh berkunjung ke Jambatan Sultan Ismail. Jambatan yang menghubungkan Tanjung Agas dan Bandar Maharani Muar ini mula dibuka untuk kegunaan orang awam pada 1967. Dirasmikan oleh Almarhum Sultan Sir Ismail Al-Khalidi ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur, jambatan ini merupakan kawasan tumpuan penduduk tempatan untuk memancing. Kepada pengunjung, anda boleh menyewa basikal jika anda menginap di sekitar bandar dan mengayuh melalui jambatan ini untuk menghirup udara segar di bandar Muar.
Kepada penggemar sejarah lama Tanah Melayu, anda boleh berkunjung ke Balai Polis Bukit Kepong. Tapak balai polis yang kini dijadikan sebagai muzium terkenal dengan peristiwa bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 di mana pada waktu itu, berlaki pertempuran berdarah antara pengganas komunis dan polis tempatan yang dibantu oleh penduduk sekitar. Peristiwa bersejarah ini diabadikan sebagai muzium untuk generasi muda menghayati pengorbanan orang dahulu. Dan pada 23 Februari 2017, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar telah merasmikan Galeri Darurat Bukit Kepong.
3. Gunung Ledang
Untuk penggemar aktiviti luar seperti aktiviti berkhemah atau mendaki gunung, anda boleh menuju ke Gunung Ledang. Gunung yang terkenal dengan kisah mistik Puteri Gunung Ledang ini menyediakan pengalaman akitiviti luar yang sangat menarik dan berlainan daripada gunung-gunung lain di Malaysia. Berketinggian 1,276m darip aras laut, pendakian biasanya mengambil masa 4 – 6 jam. Kepada yang berminat untuk mendaki Gunung Ledang, disarankan untuk anda membeli permit dan menempah guide terlebih dahulu. Selain aktiviti mendaki, anda boleh datang ke sini dan menikmati air terjun yang ada di kaki Gunung Ledang. Oleh itu, kawasan ini amat sesuai untuk anda beriadah bersama rakan-rakan anda sambil berbarbeku. Di samping itu, anda boleh melakukan aktiviti lain seperti berkhemah (tapak perkhemahan dan kemudahan awam lain disediakan), merentas hutan, dan lain-lain.
2. Masjid Sultan Ibrahim
Kembali ke bandar Muar, terdapat beberapa lokasi yang menyediakan tarikan seni bina yang istimewa. Antaranya ialah Masjid Sultan Ibrahim yang terletak berdekatan dengan muara Sungai Muar. Masjid tertua di Muar ini mula dibina pada tahun 1890-an. Pada tahun 1930, bangunan masjid baru siap dibangunkan menggantikan bangunan lama. Reka bentuk masjid yang menggabungkan elemen Barat dan Timur Tengah menjadikan masjid ini sangat unik dan cantik persis Al-Hambra (Sepanyol). Untuk pengetahuan anda, masjid ini juga boleh dilihat jika anda berlayar dengan bot di Sungai Muar.
Lokasi: Jalan Petri, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar
1. Menara Jam Muar
Di samping itu, jika anda mencari kawasan tumpuan muda mudi di Muar, anda boleh berkunjung ke Menara Jam Muar. Menara yang dibina berasaskan seni bina Inggeris lama, terletak di Laman Maharani Padang Nyiru. Terdapat kawasan lapang yang menghijau di sekitarnya, anda akan dapat menikmati suasana nyaman di tengah bandar Muar sambil menikmati pemandangan air pancut dan bergaul dengan penduduk tempatan. Di kawasan sekitar, anda akan dapat melihat sejarah peninggalan penjajah melalui seni bina kedai yang unik dan tersendiri.
Lokasi: Jalan Yahya, Pekan Muar, 84000 Muar
Tempat Makan Sedap di Muar
Jika di Pantai Timur, penduduk di sana memulakan sarapan pagi dengan juadah Nasi Kerabu atau Nasi Dagang, tetapi di Muar, penduduk tempatan di sini kebiasaannya mulakan sarapan pagi mereka dengan hidangan satay. Ya, biasanya satay yang dihidang pada waktu petang atau malam di tempat lain, dihidang sebagai sarapan pagi di sini. Di mana sahaja anda berada di Muar, anda patut mulakan hari anda dengan hidangan satay. Tidak cukup dengan satay, Muar juga terkenal dengan minuman kopi. Kedai kopi tempatan seperti Kopi Sai Kee yang diasaskan pada tahun 1953 telah lama menyediakan hidangan kopi yang setaraf seperti jenama terkenal lain pada harga yang berpatutan.
Selain itu, Muar juga menyajikan anda makanan berat yang mempunyai rasa sedap tersendiri. Bagi yang sukakan asam pedas, anda boleh menuju ke Tanjung Emas yang terletak berdekatan dengan Bandar Muar. Jika anda ingin menikmati asam pedas anda sambil menikmati pemandangan laut dan perkampungan nelayan, anda boleh menuju ke Gerai Asam Pedas Parit Jawa.
Untuk kelainan, anda boleh menuju ke sebuah warung di hadapan Sekolah Kebangsaan Dumpar. Warung tersebut memang terkenal dengan hidangan mee bandung nya di kalangan penduduk tempatan. Untuk memudahkan anda mengenal pasti lokasi warung tersebut, terdapat sebuah kedai menjual kelapa di sebelah warung itu.
Terdapat pelbagai tarikan lain di Bandar Diraja ini yang mampu memberikan pengalaman manis kepada anda jika anda membuat keputusan untuk berkunjung ke sini. Layanan penduduknya yang ramah, kawasan menarik yang terdiri daripada berbagai-bagai elemen, dan makanan tempatan yang sedap dan enak sudah cukup alasan untuk anda mengemas beg dan datang berkunjung ke sini. Selain itu, kos yang murah dan kemudahan penginapan yang banyak dapat melancarkan percutian anda di Muar Bandar Diraja Johor ini. Selamat bercuti!