Selebriti Malaysia- Daiyan Trisha

- Advertisement -
Daiyan Trisha binti Mohd Nasaruddin atau lebih dikenali sebagai Daiyan Trisha (lahir 22 Disember 1993)[a] merupakan seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia.[1] Beliau mula dikenali ramai menerusi telefilem pertama lakonannya yang bertajuk Dee.
Kehidupan peribadi
Daiyan Trisha lahir dan membesar di Bangi, Selangor kepada pasangan Samsiah binti Mohd Nor, seorang penulis novel terkenal dan Mohd Nasaruddin bin Mohamed. Merupakan anak kedua daripada lima beradik dalam keluarganya, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dee gemar membaca dan bersenam di waktu lapang. Daiyan merupakan pemegang Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan di Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL). Daiyan memetik penyanyi Amerika Syarikat, Taylor Swift sebagai pengaruh dan idolanya dalam bidang muzik.
Kerjaya
Daiyan mula bergiat aktif dalam dunia hiburan tanah air pada 2013 ketika berusia 20 tahun. Beliau pertama kali mendapat perhatian umum menerusi telefilem bertajuk Dee yang bersiaran di Astro Ceria. Telefilem ini turut mencetuskan sebuah siri TV dengan judul sama yang disiarkan pada 2015.
Kerjaya filem beliau bermula pada 2015 menerusi filem drama komedi Girlfriend Kontrak arahan pengarah kelahiran Australia, Virginia Kennedy lakonan Nur Risteena dan Keith Foo. Sebagai penyanyi, Daiyan telah merakamkan beberapa lagu dan single termasuk “Kerana Kau”, “Cinta Suka Sayang Kamu” dan “Kita Manusia”. Beliau juga berduet bersama penyanyi Indonesia, Calvin Jeremy menerusi lagu “Kita”.
Dari November 2017 sehingga Januari 2018, Daiyan membawakan peranan pembantu sebagai Ira dalam drama My Coffee Prince arahan Michael Ang, lakonan Fattah Amin dan Janna Nick, adaptasi dari drama popular Korea Selatan 2007, The 1st Shop of Coffee Prince.
Filem kedua beliau, Busker yang menggandingkan beliau bersama Hafeez Mikhail ditayangkan pada 11 Januari 2018, yang mana Daiyan memegang watak sebagai Vera.
Daiyan menjadi bintang utama bersama Aliff Aziz dalam drama Sejuta Rasa Buat Adelia, adaptasi dari novel Ulam Kasih Sambal Cinta karya Norzailina Nordin. Beliau memegang watak sebagai Adelia Naurah, seorang cef di Malay Kitchen.