5 Tempat Menarik Di Pulau Perhentian | Panduan Bercuti Ke Syurga Laut Biru

0

31

- Advertisement -

Tidak perlulah anda bersusah-payah mencari keindahan di negara lain kerana semua ini sebenarnya dapat dinikmati di negara sendiri. Bukan sedikit, tapi sungguh banyak tarikan yang mendamaikan jiwa ditawarkan di pelbagai pelusuk Semenanjung Malaysia. Dari timur hinggalah ke barat, sungguh banyak lokasi untuk anda sekeluarga ‘recharge’ kembali mental dan tenaga.

Salah satu tarikan indah ini terletak di negeri ‘kepok leko’ yang tak lain tak bukan, Terengganu. Siapa tak pernah dengar tentang Pulau Perhentian? Kalau pernah, bila lagi nak merasai keindahannya sendiri? Bagi yang tak pernah, percayalah, percutian ke pulau ini akan menjadi salah satu memori yang paling sukar dilupakan seumur hidup anda!

Kecantikan yang menanti di Pulau Perhentian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibayangkan, tapi, dalam artikel ini, kami akan sedaya-upaya membantu anda mendapatkan gambaran keindahannya untuk menyerapkan seribu-satu sebab kenapa anda perlu memilih pulau ini sebagai destinasi percutian yang akan datang. Teruskan membaca senarai tempat menarik di Pulau Perhentian ini.

1. Pulau Perhentian Kecil

32.jpg

Tak pasti nak bermalam di Pulau Perhentian Kecil atau Besar? Mungkin penjelasan ni akan membantu anda membuat pilihan.

Kalau Pulau Perhentian Besar dapat memuaskan jiwa anda yang merindukan suasana tenang, Pulau Perhentian Kecil pula lain ceritanya. Pulau ini agak meriah dengan pelancong terutama sekali pada bahagian yang dipanggil Long Beach ataupun Pantai Panjang, tak kisahlah siang atau malam, ada sahaja aktiviti yang berjalan di sini.

Inginkan ketenangan? Jangan risau, ruang untuk anda mendapatkan privasi ada disediakan di Coral Bay yang terletak bertentangan dan tidak sukar untuk diakses.

Sebagai info tambahan, salah satu sebab kenapa Pulau Perhentian Kecil ini lebih menjadi tumpuan adalah kerana terdapat banyak penginapan-penginapan bajet yang tersedia di sini.

Alamat: Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu

2. Teluk Pauh

33.jpg

Teluk Pauh adalah sebuah tarikan alam semula jadi di dalam Pulau Perhentian Besar yang terletak di bahagian barat laut. Kalau anda datang ke sini dari Pantai Panjang (Pulau Perhentian Kecil), anda boleh menggunakan perkhidmatan ‘teksi air’ yang disediakan penduduk setempat. Masa yang diambil untuk sampai ke teluk ini adalah dalam sekitar 10 minit.

Sebaik sampai di kawasan Teluk Pauh, anda akan terpesona melihat keindahan melampau yang disajikan di depan mata. Teluk Pauh ini ibarat sebuah kolam renang semula jadi yang sangat besar , yang menjadikan ianya sejuta kali menyeronokkan adalah kerana kejernihan airnya yang persis kristal. Nak mandi sepuas hati? Inilah lokasinya kerana dasar airnya juga tidak begitu dalam.

Alamat: Daerah Besut, Pulau Perhentian Besar Teluk Pauh 22300, Terengganu

3. Teluk Dalam

34.jpg

Pada bahagian selatan Pulau Perhentian Besar pula terletaknya tarikan yang tak patut anda lepaskan iaitu Teluk Dalam. Di sepanjang teluk ini juga terdapat banyak penginapan menarik yang ditawarkan.

Sebaik anda sampai ke Teluk Dalam, anda akan dikejutkan dengan betapa panjangnya kawasan pantai ini yang kalau diikutkan, kepanjangannya mengalahkan Pantai ‘Panjang’ yang terletak di Pulau Perhentian Kecil!

Kawasan teluk yang panjang ini cukup mendamaikan, kat sinilah anda boleh meluangkan masa bersama keluarga sambil berkelah dan menikmati pemandangan dengan tenang. Tapi kebiasaannya, pada waktu tengah hari dan ketika mendekati waktu senja, kawasan teluk ini agak menjadi tumpuan untuk pelbagai aktiviti seperti berkayak, snorkeling, bola tampar dan sebagainya.

Alamat: Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar, Terengganu

4. Pantai Panjang (Long Beach)

35.jpg

Pantai Panjang ataupun Long Beach adalah sebuah lokasi yang menjadi perhatian ramai backpackers dan mat saleh. Bagi anda yang datang bersama anak-anak kecil tu, kawasan pantai ini sebenarnya agak tidak sesuai untuk dilawati.

Aktiviti yang berjalan di tepian Pantai Panjang ini bertambah meriah sebaik tiba waktu malam. Antara benda menarik yang ada di sini adalah pertunjukan api.

Di tepian Long Beach ni juga, kalau anda nak tahu, ada banyak guest house yang sesuai untuk diinapi golongan solo traveller atau yang bercuti dalam bajet. Nak jimat lagi? Set je khemah tepi pantai ni.

Alamat: Long Beach, Pulau Perhentian Kecil, Terengganu

5. Kampung Pasir Hantu

36.jpg

Kampung Pasir Hantu adalah sebuah perkampungan nelayan yang terletak di Pulau Perhentian Kecil. Kat sini, anda boleh melihat kehidupan sehari-hari penduduk tempatan yang hanyalah sebuah komuniti kecil.

Antara yang boleh anda nampak di sini adalah bangunan sekolah, balai polis dan kawasan perumahan. Ya, ia bukanlah seperti yang anda bayangkan dari sebuah perkampungan nelayan di atas pulau kan?

Kalau anda berjalan di sekitar kampung ini pula, dapat dilihat air laut yang jernih bak kristal, tak ada langsung pencemaran yang mengganggu pemandangan mata. Disebabkan kampung ini juga digelar sebagai perkampungan nelayan, banyaklah bot-bot yang terdampar di pesisir pantai dapat dilihat di sini.

Alamat: Kampong Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: