Teknologi boleh membantu dan disalah guna dalam inisiatif antirasuah

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui teknologi membolehkan pelbagai masalah sosial termasuk rasuah dapat ditangani dan dari semasa ke semasa akan terus mencari mekanisme terbaik menggunakan keupayaan teknologi terkini untuk membanteras gejala berkenaan.
Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 menyatakan teknologi boleh digunakan dalam mencegah rintang rasuah yang mana pengaduan diperoleh melalui sumber khalayak, proses dan mekanisme yang telus serta perkongsian maklumat tepat.
Proses automasi pula menyaksikan perolehan dan pembayaran berjalan lebih lancar melalui transaksi digital, sekali gus memastikan ketelusan yang mengurangkan risiko rasuah.
Melalui penggunaan teknologi juga, organisasi dapat menerapkan penggunaan teknologi terkini yang mana secara tidak langsung mewujudkan jejak audit lebih selamat, lebih dipercayai dan diyakini pelanggan atau pengguna.
Teknologi maklumat juga memudahkan capaian maklumat, malah menggalakkan ketelusan dan keterbukaan yang menyumbang kepada lapangan persaingan yang adil dan saksama kepada kerajaan mahu pun pasaran.
Melalui pendigitalan perkhidmatan awam pula kerenah birokrasi dan risiko rasuah dapat dikurangkan, selain menjimatkan kos kerajaan.
Namun, kemajuan teknologi ini tidak terlepas daripada risiko penyalahgunaan yang mengundang cara baharu dalam memberi rasuah.
Akibat kecanggihan teknologi ini, perlakuan rasuah menjadi semakin kompleks dan rumit menyebabkan kerajaan mengambil kira pelbagai langkah untuk menanganinya yang mungkin berlaku sama ada secara dalam talian atau luar talian.
Pelan itu menyatakan Data Raya boleh diformulasi secara khusus untuk mengesan potensi berlakunya sogokan dan amalan rasuah. Justeru, penggunaan analisis data raya mampu mengenal pasti jika berlaku kegiatan rasuah dalam organisasi.
Fungsi teknologi juga dapat dioptimumkan dalam membanteras penipuan dan mencegah rasuah melalui penggunaan pemprosesan statistik dan analisis ramalan.
Selain itu, pelan berkenaan juga mengenal pasti Kecerdasan Buatan (AI) yang membuka peluang kepada pemantauan dan penilaian ke atas aktiviti penipuan serta rasuah rumit seperti sistem perbankan dan perindustrian.
AI juga berupaya menganalisis sifat dan perilaku transaksi secara berterusan dan meneliti sebarang aktiviti mencurigakan berpandukan kepada rujukan latar belakang data.
Lebih menarik, AI satu platform yang lebih berdaya tahan dengan ciri tambahan baharu untuk menganalisis tingkah laku dan pengecaman wajah sangat sesuai untuk membanteras rasuah.
AI juga boleh dilaksanakan pengecaman wajah untuk keselamatan transaksi yang mana hanya individu tertentu saja diberikan autoriti untuk mengakses satu-satu maklumat.
Pada masa sama, AI membuat analisis tingkah laku yang mampu mentafsir kewujudan aktiviti mencurigakan dengan meramalkan kebarangkalian berlakunya rasuah dan ini sudah tentu mampu mencegah amalan rasuah pada peringkat awal lagi.
Satu lagi teknologi sesuai untuk antirasuah adalah penggunaan rantaian blok dan teknologi lejar teragih yang mana teknologi ini menitik beratkan kesepakatan pelbagai mekanisme terangkai bersama dengan setiap pihak dalam rantaian itu secara konsensus mengesahkan satu-satu transaksi.
Ini bermakna setiap rekod lejar bagi setiap aktiviti dalam keseluruhan rangkaian transaksi tidak boleh diubah dan ditiru yang sangat sesuai dalam mekanisme perakaunan dalam merekod jejak fizikal dan digital satu-satu transaksi.
Antara potensi aplikasi teknologi ini adalah dalam pilihan raya, pendigitalan sistem pengenalan diri dan sistem percukaian.