36

MANCHESTER: Pep Guardiola langsung tidak bersimpati dengan jadual padat yang terpaksa ditempuh pemain Manchester City, bahkan mengingatkan mereka hanya boleh berehat selepas bersara.

Ini kerana, ketika Liverpool menghabiskan masa latihan di Dubai, minggu lalu, City pula terpaksa melayan pertemuan dengan Huddersfield Town dan Burton Albion.

Kunjungan ke Newcastle pada Selasa ini bermakna, mereka akan berdepan empat perlawanan sepanjang tempoh Liverpool berehat, sebelum kembali semula beraksi.

Ia tidak mudah seperti disangkakan. Mara ke pentas final Piala Liga memaksa City untuk menerima aksi liga bertemu Everton disusun semula ke pertengahan minggu, yang menyaksikan mereka akan terus dijadualkan menentang Arsenal dan Chelsea, selepas itu.

Pada masa sama, Liga Juara-Juara pula akan bersambung semula bulan depan.

Guardiola menegaskan, kejayaan memenangi semua empat gelaran adalah ‘satu mimpi’, tetapi itu tidak bermakna beliau tidak akan mencuba.

“Kadang kala saya memberitahu kepada pemain ini adalah satu kelebihan,” katanya. “Sekiranya mereka percaya itu adalah satu masalah, mereka sebenarnya melakukan kesilapan besar.

“Apabila berusia 35 tahun, anda boleh menikmati percutian yang panjang, tidak lagi menjadi masalah. Anda akan bersara dan kemudian ambil cuti setahun.

“Tetapi buat masa ini, ia perlu diberi keutamaan. Layan dan nikmatilah semua aksi ini dengan sebaik mungkin.

“Kena menang aksi seterusnya. Apa jua pertandingan, saya tidak kisah. Sekalipun perlawanan persahabatan, tetap kena menang, beraksi baik dan bersiap sebaik mungkin.

“Saya tidak boleh memberi cuti (kepada pemain). Ini adalah perkara yang perlu ditempuhi mereka jika mempunyai empat pertandingan. Anda mempunyai perlawanan setiap tiga hari. Secara mental dan fizikalnya tiada rehat. Kami perlukan mereka.

“Apabila satu pemain beraksi 20 minit, saya mahukan 20 minit yang terbaik daripada mereka… atau jika mereka beraksi lima minit, saya mahukan lima minit yang terbaik.

“Kerana kami mahu bertarung hingga ke hujung permainan, dan ini mungkin membawa perbezaan. Mungkin menerusi lima minit berkenaan mereka boleh membantu memenangi sesuatu, dan itu apa yang saya harapkan.” – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.