03.jpg

Maya Karin Roelcke atau lebih dikenali sebagai Maya Karin (dilahirkan pada 29 Oktober 1979), merupakan seorang pelakon, penyanyi dan pengacara wanita Malaysia. Menjadi salah satu pelakon wanita terulung di Malaysia dalam industri perfileman tanah air, Maya meraih penghargaan meluas daripada kritis dan umum untuk kemenangan anugerah dan persembahan terbaik menerusi lakonannya dalam filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan Ombak Rindu. Sebagai pelakon yang bertaraf kelas A, beliau banyak bertumpu kepada filem dan jarang muncul dalam drama televisyen.

Dalam sejarah Festival Filem Malaysia, Maya memegang rekod untuk pelakon dengan pencalonan terbanyak bagi kategori Anugerah Pelakon Wanita Terbaik (10) dan beliau adalah dikalangan pelakon wanita yang memenangi anugerah itu sebanyak dua kali. Maya juga merupakan satu daripada dua pelakon wanita Malaysia dan yang pertama yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik. Tercalon dalam kategori pelakon terbaik dan anugerah hiburan popular hampir setiap tahun, Maya meraih pelbagai anugerah dan pencalonan di Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, Anugerah Lawak Warna, Festival Filem Asia Pasifik, Estepona Fantasy & Terror Film Festival, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah MeleTOP Era.

Anugerah pertama yang dimenangi Maya ialah trofi Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH 2001) yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang. Seterusnya beliau memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular di ABPBH 2005, 2008 dan 2011. Beliau diberi jolokan sebagai “Ratu Filem Seram” kerana banyak membintangi filem seram. Bagi kerjayanya sebagai penyanyi, Maya telah menerbitkan sebanyak tiga album studio, album pertamanya, Erti Cinta telah terjual sebanyak 10,000 unit di Malaysia sahaja. Pada Jun 2018, Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang meraih pengiktirafan di peringkat global.

Ia telah diumumkan pada Mac 2017 bahawa Maya akan muncul dalam kesinambungan filem Munafik bertajuk Munafik 2 arahan Syamsul Yusof. Beliau dilaporkan menggantikan pelakon utamanya, Nabila Huda yang menarik diri dari membintangi Munafik 2 kerana kesibukan jadual kerja. Dikeluarkan pada 30 Ogos 2018, Munafik 2 merupakan satu kejayaan komersial apabila meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM43 juta sekaligus menjadi filem dengan kutipan pecah panggung terbanyak di Malaysia. Maya memegang watak sebagai Sakinah, seorang ibu tunggal yang menjaga bapanya, Imam Malek (Roslan Salleh) yang terlantar sakit. Sakinah mempunyai seorang anak perempuan bernama Aina. Portal berita The Star melaporkan yang Maya lebih bertumpu kepada filem berbanding drama meskipun sudah 7 tahun bergiat aktif dalam bidang lakonan. Beliau menjadi bintang utama di samping Remy Ishak dalam pementasan Teater Tun Fatimah yang dipentaskan pada 20 dan 21 Oktober di Panggung Bangsawan Melaka.

Maya bersama-sama dengan Nam Ron, Zahiril Adzim, Chew Kin Wah, June Lojong, Afdlin Shauki, Syamsul Yusof, Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro pada Jun 2018.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.