04.jpg

Nurlisasqia binti Ahmad Dahuri atau lebih dikenali sebagai Sasqia Dahuri (lahir 7 Mei 1985) ialah seorang pelakon dan model wanita Malaysia. Beliau mula aktif menceburi bidang lakonan sejak 2008 dan terkenal dengan watak-watak antagonis.

Kehidupan awal

Sasqia dilahirkan pada 7 Mei 1985 di Pasir Mas, Kelantan dan membesar di Kuala Lumpur. Beliau merupakan anak sulung daripada tiga orang beradik dan mempunyai ketinggian 177cm serta berdarah kacukan Thai-Melayu. Sasqia berkelulusan dalam bidang Pengurusan Pemasaran di Universiti Multimedia Malaysia (MMU). Selain itu, beliau juga banyak terbabit dalam bidang peragaan di awal penglibatannya dalam dunia glamor.

Kerjaya

Kemunculan pertama Sasqia dalam bidang lakonan ialah menerusi filem Senario Ops Pocot arahan Ismail Bob Hasim, kemudian diikuti oleh filem Kongsi arahan Farid Kamil. Bagaimanapun, beliau terpaksa berundur seketika daripada dunia seni sambil berkata, dia belum cukup bersedia berdepan kehidupan sebagai artis pada waktu itu.

Drama pertama lakonan Sasqia ialah Manis yang disiarkan di Astro Ria. Beliau kemudiannya ditawarkan watak antagonis bernama Gina dalam drama Ayuni Safira pada 2014. Lebih manis apabila drama pertama selepas kemunculan semula itu mendapat maklum balas yang baik daripada penonton. Begitu juga keadaannya apabila beliau diberi peluang sekali lagi membawakan watak antagonis dalam drama Cik Bunga Encik Sombong.

Peluang sebegitu tidak dilepaskan kerana misinya mahu membuka mata khalayak tentang kemampuan lakonannya. Beliau sekali lagi bakal muncul dengan watak antagonis bernama Tina dalam drama Dhia Sofea. Sasqia menjayakan peranan sebagai Felisha, bekas kekasih kepada Iskandar dalam siri telenovela Astro Ria, Lara Aishah yang dibintangi oleh Fasha Sandha dan Nazim Othman.

Sasqia juga muncul dalam filem fantasi pendek arahan Feisal dan Iskander Azizuddin, Through The Forest yang dikeluarkan pada 25 Disember 2016, beliau memegang watak sebagai Fia. Pada 2017, beliau membintangi drama kepolisan Gerak Khas menerusi episod “Love Scam” di TV2, beliau memegang watak sebagai Sofia, seorang pengusaha butik fesyen.

Sasqia bersama pelakon Zul Ariffin dan Elizabeth Tan membintangi filem seram thriler, Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof yang dijadualkan akan ditayangkan pada 21 Februari 2019.

 

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.