46

LONDON: Kelab bergelut Liga Perdana Inggeris, Huddersfield Town melantik Jan Siewert sebagai pengurus baharu susulan peletakan jawatan David Wagner, umum pasukan itu awal pagi tadi.

Pengendali berusia 36 tahun itu meninggalkan tugasnya sebagai jurulatih skuad simpanan Borussia Dortmund dan menandatangani kontrak selama dua setengah tahun bersama Terriers, yang berpisah dengan Wagner minggu lalu.

“Huddersfield Town gembira untuk mengumumkan pelantikan Jan Siewert sebagai ketua jurulatih baharu,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Wagner memegang jawatan sama seperti Siewert di Dortmund sebelum mengendalikan Huddersfield pada November 2015.

“Kami menikmati kejayaan hebat di bawah kendalian jurulatih terdahulu, David Wagner dan kami melantik jurulatih baharu yang mempunyai banyak persamaan dengannya – muda, amat berinspirasi dari Jerman dan Borussia Dortmund II,” kata pemilik dan pengerusi Huddersfield, Dean Hoyle.

“Jan berasakan beliau dapat meneruskan apa yang kami capai di sini dan membuat penambahan. Kami bukan ingin merosakkan apa yang kami cipta di sini, kami cuba untuk menambah dan membawanya ke tahap seterusnya.”

Huddersfield naik ke liga utama ketika Wagner mengendalikan kelab itu pada 2017 dan terselamat mengharungi saingan elit Inggeris musim lalu.

Begitupun mereka bergelut musim ini dan menghuni tangga tercorot liga selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada 23 perlawanan dan ketinggalan 10 mata berbanding zon selamat. – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.