5 Tempat Menarik Di Surabaya

42

Menarikkah Surabaya? Kenapa tidak ke Jakarta atau ke Bali sahaja alang-alang sudah ke Indonesia? Jangan dipandang sebelah mata kota Surabaya ini ya, jika dilihat secara lebih dekat kotaraya kedua yang terbesar di Indonesia ini, tarikan-tarikannya tidak kurang hebatnya daripada destinasi lain yang terkenal di Indonesia.

Untuk pengetahuan anda, Surabaya adalah Kota Terbersih di Indonesia buat 7 tahun berturut-turut. Di samping itu, Surabaya yang terkenal sebagai Kota Pahlawan ini juga merupakan kota yang menyaksikan banyak peristiwa bersejarah di mana semangat rakyat Indonesia menentang penjajahan Belanda pada suatu ketika dahulu telah bersemarak.

Terbukti, ia bukanlah sekadar sebuah kota yang meriah dengan pusat membeli-belah dan tarikan taman-taman tema, Surabaya sememangnya cukup unik dan menawarkan begitu banyak tarikan yang tidak mungkin habis diterokai dalam masa seminggu. Nak tahu apa yang ada di Kota Pahlawan ini? Teruskan membaca senarai 5 Tempat Menarik di Surabaya.

1. Hutan Bambu dan Taman Sakura

43.jpg

Hutan Bambu dan Taman Sakura mengetengahkan konsep taman bandar dan hutan bandar. Sekiranya anda tercari-cari lokasi untuk merakam video inspirasi Bollywood, inilah salah satu lokasi yang terbaik di Surabaya.

Di Taman Sakuranya anda akan disajikan dengan pelbagai jenis bunga-bungaan yang tersusun rapi mengikut warna seperti putih, jingga, merah, ungu, merah jambu dan kuning. Sebuah taman yang sangat menyejukkan mata.

Walau bagaimanapun pastikan anda datang pada waktu peralihan musim iaitu antara musim hujan dan panas ya, barulah dapat anda nikmati pemandangan bunga-bungaan yang tumbuh dengan mekar.

Waktu Operasi: Setiap Hari 24 Jam

Bayaran: Percuma

Alamat: Jl. Raya Marina Asri, Keputih, Sukolilo

2. Museum House of Sampoerna

44.jpg

Dibangunkan pada tahun 1862, muzium yang terletak di tengah-tengah kota Surabaya ini memiliki reka bentuk kolonial Belanda. Pada asalnya, bangunan muzium ini dijadikan pusat pendidikan oleh pihak Belanda, namun pada tahun 1932 ianya dibeli oleh Liem Seeng Tee untuk dijadikan kilang rokok Sampoerna.

Sebaik menjejakkan kaki ke dalam Muzium House of Sampoerna ini anda akan disambut dengan bau tembakau dan kolam ikan dengan bunyi pancuran air yang mewujudkan atmosfera menyenangkan. Antara pameran yang dapat dilihat di sini adalah koleksi antik mesin percetakan kotak rokok, peralatan yang digunakan di dalam makmal untuk menguji kualiti bahan rokok dan banyak lagi.

Di tingkat kedua muzium ini pula anda dapat melihat pekerja kilang ini menyiapkan rokok, dikatakan setiap pekerja di sini dapat menyiapkan sekitar 300 batang rokok dalam masa sejam.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Percuma

Alamat: Taman Sampoerna No. 6, Krembangan Utara, Pabean Cantian

3. Kya Kya Kembang Jepun

45.jpg

Terletak tidak jauh dari tarikan terkenal lain di Surabaya iaitu Jambatan Merah Plaza dan Jambatan Merah, Kya Kya Kembang Jepun menempatkan pasar malam yang terkenal di Surabaya. Sekiranya anda ingin membeli pelbagai barangan cenderamata yang menarik kepada yang jauh di mata, jadikan ini salah satu lokasi shopping anda.

Sambil membeli-belah disini, anda boleh mencuci mata melihat banyak bangunan-bangunan klasik yang terdapat disekitarnya yang termasuklah tokong-tokong cina dengan warna yang membuatkan mata anda sentiasa terbuka.

Alamat: Jl. Kembang Jepun, Surabaya

4. Surabaya North Quay

46.jpg

Sudah puas melihat kenderaan-kenderaan di jalan raya? Apa kata kalau cuti kali ini anda bawa keluarga beramai-ramai ke Surabaya North Quay, bukan sahaja dapat melihat pemandangan matahari terbenam yang indah dari terminal kargo pelabuhan Tanjung Perak ini, malahan anda juga dapat melihat kapal-kapal merentasi lautan tanpa henti.

Pada waktu malam pula, anda dapat melihat pemandangan langit malam yang cukup memukau, bintang-bintang yang berkelipan dan kapal-kapal yang dihiasi lampu, romantik sekali atmosferanya. Jika anda datang pada waktu malam di hujung minggu pula, anda akan dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung.

Makanan? Jangan risaulah, cukup banyak pilihan gerai makan yang ada di sini, tepuk dada, tanya selera. Sudah puas menikmati pemandangan laut dari kejauhan, apa kata kalau anda mengikuti fun trip mengelilingi laut yang ditawarkan kapal Artama di sini?

Trip ini akan membawa anda sekeluarga mengelilingi laut untuk menikmati pemandangan tarikan hebat lain di Surabaya seperti Jambatan Suramadu dan Patung Jalesveva Jayamahe. Terasa sempurna sekali pakej yang ditawarkan Surabaya North Quay inikan?

Waktu Operasi: Selasa- Ahad (11.00am – 9.00pm)

Bayaran: Rp. 75.000 (Kapal Artama)

Alamat: Terminal Gapura Surya Nusantara lt.3, Pelabuhan Tanjung Perak, Jl. Perak Timur, Surabaya

5. Monumen Jalesveva Jayamahe

47.jpg

Tidak sah jika melancong ke sesebuah negara namun tidak bergambar dengan monumen-monumen pentingnya bukan? Kalau begitu, inilah salah satu monumen penting di Surabaya yang mesti anda abadikan dalam foto percutian bersama keluarga iaitu Monumen Jalesveva Jayamahe.

Sebagai Kota Pahlawan, monumen ini adalah salah satu simbol kekuatan Surabaya. Jalesveva Jayamahe membawa maksud “di lautan kita jaya” yang juga merupakan motto Angkatan Laut Indonesia.

Monumen yang berketinggian 30.6 meter ini didirikan di atas bangunan yang menempatkan muzium angkatan laut Indonesia. Bangunan dan monumen ini kelihatan cukup megah dari kejauhan, apatah lagi apabila anda mendekati dan menjejakkan kaki ke dalam bangunan muzium ini, anda sekeluarga pasti teruja melihat pameran yang tersusun rapi di dalamnya.

Waktu Operasi: Setiap Hari 24 Jam

Alamat: Ujung, Semampir, Surabaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: