03.jpg

Che Puan Juliana Sophie binti Johari Evans atau lebih dikenali sebagai Juliana Evans (lahir 5 Julai 1989) ialah seorang pengacara, pelakon dan model iklan Malaysia. Beliau mencipta nama sebagai pengacara kanak-kanak seawal usia 12 tahun, dan kemudian popular sebagai pengacara rancangan Remaja di TV3.

Beliau mencipta populariti sebagai pengacara TV yang petah hingga dicalonkan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 untuk kategori Pengacara TV Wanita Popular (ABPBH). Juliana mencipta rekod sebagai pengacara wanita paling muda yang pernah dicalonkan dalam kategori itu iaitu ketika berusia 19 tahun. Beliau beralih ke stesen televisyen Astro dengan mengendalikan program Era TV. Selain aktif mengacara, Juliana mencuba bakat dalam bidang lakonan namun bakatnya masih belum terserlah sepenuhnya. Kini, bakatnya semakin terserlah dalam beberapa drama dan filem lakonannya.

Kehidupan awal

Juliana dilahirkan pada 5 Julai 1989 di Shah Alam, Selangor kepada bapanya yang berketurunan Amerika dan ibunya berketurunan Melayu. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, kakaknya ialah Isabelle pernah menjadi pengacara di TV Pendidikan.

Beliau belajar di Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perfileman, Video dan Media di universiti tersebut selama dua tahun. Beliau juga telah mengambil cuti selama tiga bulan untuk berjumpa keluarga, berlakon serta menyambut raya bersama saudara-maranya.

Kerjaya

Ketika berusia 11 tahun, Juliana Evans menjadi pengacara rancangan E-zone yang bersiaran di Astro Ria. Beliau juga pernah muncul dalam filem dokumentari pendek Hapuskan Aedes, Cegah Denggi terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada tahun 2007, Juliana menjayakan watak sebagai Sofie dalam drama muzikal bebas 8TV, KAMI – The Series. Ia turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Nas-T, Syarul Ezani dan Ani Zayanah. Beliau kembali menjayakan wataknya dalam filem KAMI The Movie yang ditayangkan pada 2008, ia menjadi filem pertama lakonannya. Pada tahun sama, Juliana muncul dalam drama Kasut Tumit Tinggi, memegang watak sebagai Mai.

Dalam tahun 2010, Juliana menjayakan watak utama sebagai Cendana dalam drama fantasi Sayang Cendana. Beliau merupakan salah seorang pelakon utama filem drama sukan Hooperz arahan Rosihan Zain, dalam filem ini, Juliana melakonkan watak Nino.

Beliau memegang watak sebagai Natrah, seorang gadis Belanda yang dipelihara oleh keluarga angkatnya dalam filem dokumentari dengan judul sama yang bersiaran di Astro Prima pada 24 Januari 2011.

Beliau berlakon bersama Zizan Razak dalam filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham, memegang dua watak, iaitu Ayu, seorang bohsia yang maut dilanggar lori dan Maya, hantu yang muncul dalam hidup Amran lakonan Zizan. Juliana kembali digandingkan bersama Zizan dalam filem Hantu Bonceng juga arahan Idham.

Juliana memulakan kerjaya lakonan dalam teater pada 2015 menerusi pementasan teater Bawang Merah Bawang Putih yang dipentaskan di Istana Budaya dari 3 hingga 8 Disember 2015.

Sejak 2017, beliau menjadi pengacara rancangan Mahligai Cinta di TV3. Beliau kini mengacarakan rancangan travelog Fly Us To Asia bersama Liyana Jasmay.

Juliana merupakan antara lima selebriti yang dipilih sebagai duta bagi kempen #ThroughTheLens anjuran AirAsia. Empat selebriti lain yang terlibat termasuk Alvin Chong, Elfira Loy, Izara Aishah dan Zahirah MacWilson.

Kehidupan peribadi

Beliau pernah dikaitkan bercinta dengan penyanyi yang bernama Adam pada tahun 2006 dan diyakini bahawa nama beliau diabadikan dalam lagu popular Adam berjudul Hai. Bait-bait liriknya dipercayai telah ditujukan kepada Juliana, malah dipersembahkan ketika acara Separuh Akhir IKON 2007. Namun hubungan cinta mereka khabarnya berakhir ketika lagu tersebut mendaki carta popular pada pertengahan 2007.

Pada tahun 2008 Juliana mengakui menjalinkan hubungan dengan vokalis utama kumpulan Bunkface iaitu Sam Baharom (abang kepada rakan karib Juliana, pelakon Siti Saleha). Biarpun mengiyakan, namun pasangan ini bertindak low profile ketika berhadapan dengan media. Hubungan cinta mereka dilaporkan putus pada awal tahun 2010.

Juliana juga sebelum ini dilaporkan pernah menjalin hubungan intim dengan pelawak, Zizan ketika sama-sama berlakon dalam filem Hantu Bonceng.

Pada tahun 2017, Juliana sah bergelar isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah. Suaminya merupakan kerabat diraja Selangor. Juliana berkata bahawa beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga dan berharap agar peminatnya terus mendoakan kebahagiannya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.