34.jpg

LONDON: Kurt Zouma menjaringkan gol pertamanya buat Everton musim ini bagi membantu pasukannya menewaskan Bournemouth 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi mahu menang dalam perlawanan itu selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini yang menyaksikan Everton hanya menang satu daripada lapan perlawanan terakhir liga manakala Bournemouth hanya melakar satu kemenangan daripada enam aksi terakhir.

Prestasi cemerlang Zouma terutama pada babak pertama perlawanan berjaya mencuri tumpuan selain kelicikan pemain tengah Bournemouth, David Brooks yang melakukan percubaan berbahaya pada minit ke-18.

Bagaimanapun, Everton lebih bernasib baik apabila membuka tirai jaringan menerusi tandukan Zouma pada minit ke-60 selepas pemain antarabangsa Perancis itu menerima hantaran daripada Lucas Digne.

Tuan rumah kemudiannya melengkapkan kemenangan hasil jaringan dilakukan Dominic Calvert-Lewin apabila dia tenang menyempurnakan hantaran rendah Ademola Lookman pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Everton melonjak ke tangga ke-10 dengan mengumpul 30 mata, mengatasi Wolverhampton Wanderers dengan kelebihan satu mata di kedudukan ke-11 manakala Bournemouth kekal di tangga ke-12. – AGENSI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.