18

Ketika Honda mengumumkan bahawa kereta ini bakal di bawa ke Tokyo Auto Salon 2019, saya tidak berapa teruja melihat gambarnya. Tetapi apabila melihat Honda S660 Neo Classic Racer Concept ini depan mata, terus saya jatuh cinta dengan segala perincian yang diberikan.

Kereta ini sebenarnya diubahsuai dari model asas kereta sport K-Car berenjin tengah Honda S660, kemudian diberikan kit badan Neo Classic yang telah dijual secara rasmi bermula September tahun lalu. Kit badan berkenaan menawarkan perubahan muka dan bahagian belakang secara keseluruhan menjadikan ia seolah-olah kereta sport dari era 60’an.

Muka asal S660 yang kelihatan seperti ‘Baby NSX‘ dengan lampu hadapan tirus digantikan dengan muka yang diberikan lampu bulat serta bampar yang juga merubah imej bersegi kepada lebih bulat. Bahagian belakang juga mendapat rombakan menyeluruh di mana rekaan landai diganti dengan bentuk yang lebih bersegi bersama lampu belakang bulat. Bumbung kanvas pada S660 standard juga digantikan dengan bumbung keras, bersama panel tambahan pada sisi bonet enjin.

19.jpg

Manakala Neo Classic Racer ini pula menggambarkan bagaimana sekiranya Neo Classic dijelmakan dalam bentuk jentera lumba sebenar. Oleh itu, lampu hadapan menerima kemasan pelindung berbentuk-X (seperti kereta-kereta lumba era tersebut yang menampal pita berbentuk-X pada lampu) dan juga bampar yang dilengkapi gril yang lebih banyak liang kemasukan udara bersama rekaan seakan spoiler hadapan.

Fender hadapan diberikan flare tambahan manakala bahagian ruang roda belakang pula diberikan panel sisi yang lebih lebar – kesemua komponen tambahan ini bersama spoiler ‘ekor itik’ dipasang dengan rivet yang diserlahkan, membuatkan ia sedikit kelihatan seperti Lotus Elise.

Bampar belakang pula menerima rombakan keseluruhan menampilkan liang udara lebih besar, manakala corong ekzos tunggal asal pada tengah bampar digantikan dengan tip berkembar diletakkan pada bahagian atas-membuatkan ia seakan jentera lumba Le Mans era 60’an.

21.jpg

Cermin sisi pandang belakang asal pula telah digantikan cermin sisi jenis ‘tanduk’ diletakkan di atas fender hadapan, diambil dari Datsun Fairlady 240Z/Nissan Skyline C10 Hakosuka. Klip bampar hadapan yang diperbuat dari kulit seperti tali pinggang turut dipadankan bagi menambah perincian seperti kereta lumba klasik sebenar. Bahan yang sama juga dibuat sebagai lencana ‘Neo Classic Racer’ diletakkan pada muncung hadapan.

Kereta ini berikan set rim aloi forged Work Meister berdiameter 17-inci, dibaluti tayar Toyo Proxes 888R. Turut kelihatan disebalik rim berkenaan adalah cakera brek yang ditebuk, bersama angkup dari Endless pada bahagian hadapan.

Masuk ke kabin yang sangat kecil ini, pemandu akan disambut oleh tempat duduk perlumbaan klasik Bride tanpa perehat kepala, dibaluti kulit merah. Sekali lagi, bagi memperlihatkan ia seperti kereta lumba sebenar, Neo Classic Racer diberikan tali pinggang perlumbaan dua-poin, tiada tempat duduk penumpang diberikan, roda stereng perlumbaan klasik Momo California balutan kulit, serta dilindungi dengan binaan rollcage penuh.

22.jpg

Perincian lain yang turut diberikan pada kabin kereta ini termasuk set pedal dan tombol gear aluminum dan juga jalur merah-biru pada panel dalaman pintu serta bahagian kiri papan pemuka-yang turut menyerlahkan perkataan ‘Neo Classic Racer.

Tiada perincian mekanikal didedahkah bagi model istimewa ini. Untuk Honda S660 versi standard, model pengganti Honda Beat ini menerima enjin petrol tiga-silinder 660cc dengan pengecas turbo diletakkan di belakang tempat duduk pemandu. Enjin yang menjana 64 hp dan tork maksima 104 Nm tersebut memacu tayar belakang menerusi kotak gear manual enam-kelajuan.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.