44

MANCHESTER: Manchester United menyenaraikan pertahanan Roma, Kostas Manolas ke dalam senarai sasaran kelab itu, pada jendela perpindahan pemain Januari.

Pertahanan tengah Greek berusia 27 tahun itu mempunyai kluasa perpindahan dalam kontraknya sebanyak 30.5 juta pound (RM160 juta), walaupun hanya boleh menyertai pasukan pada musim panas, menurut laporan The Mirror.

United turut memburu pemain Porto, Eder Militao; pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly serta pertahanan Spurs, Toby Alderweireld.

Bekas pengurus, Jose Mourinho sebelum ini pernah cuba mendapatkan pertahanan tengah dan penyerang ketika musim panas lalu, namun tidak mendapat sokongan.

Bagaimanapun, pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer menjangkakan United tidak akan menandatangani sebarang pemain baru pada jendela perpindahan Januari ini.

Solskjaer berkata, beliau akan menyuarakan ‘pandangan’ terhadap perjanjian yang akan dilakukan, tetapi berhasrat untuk mengakhiri musim ini tanpa membuat penambahan terhadap skuad sedia ada.

“Saya gembira dengan skuad yang saya ada,” kata Solskjaer.

“Saya tidak menjangkakan sesiapa akan datang, tetapi jelasnya jika kelab meletakkan sasaran dan mengenalpasti beberapa pemain dan saya rasa mereka mungkin sesuai di sini, saya akan menyatakan sokongan.

“Tetapi ia bukanlah keputusan saya.” – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.