25

KUALA LUMPUR: Harga Proton X70 yang diumumkan antara RM99,800 hingga RM123,800 adalah bersesuaian dengan tawaran produk itu, berikutan statusnya sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) premium, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis automotif dan Pengarang Portal Permotoran mekanika.com.my, Irwan Asri Mohd Nor, berkata Proton X70 dilengkapi pelbagai ciri fungsi premium serta bantuan pemanduan canggih, sekali gus meletakkan kedudukan status kenderaan itu lebih tinggi berbanding model terdahulu PROTON.

Katanya, kelengkapan teknologi yang diguna pakai sememangnya akan menelan kos perbelanjaan yang lebih tinggi untuk PROTON menghasilkan SUV berkenaan, menyebabkan harganya melebihi paras RM100,000.

“Walaupun mempunyai status premium, harganya boleh dikategorikan sebagai ‘mampu milik’. Melihat kepada jenama pesaingnya, kebanyakannya harga adalah berada di paras itu, tetapi tidak dilengkapi dengan teknologi yang diperkenalkan PROTON.

“Sebagai contoh, SUV itu dilengkapi Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) serta kemasan balutan kulit Nappa (untuk varian tertinggi). Penggunaan teknologi dan bahan seperti ini kebiasaannya dilihat pada kenderaan yang harganya mencecah RM200,000.

“Justeru, harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan ia hanya boleh dikurangkan jika ciri fungsinya termasuk sistem bantuan pemanduan dikeluarkan,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan bahawa harga Proton X70 adalah tinggi dan meminta supaya kerajaan serta PROTON menimbangkan untuk menurunkan harga SUV berkenaan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000.

Najib dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya baru-baru ini berkata, ramai yang berminat dengan reka bentuk X70 serta kelengkapan SUV itu, namun kecewa dengan harga yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya ingat pada masa kerajaan BN (Barisan Nasional) memberi pinjaman mudah (soft loan) serta peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada PROTON semasa kerjasama mereka dengan Geely diumumkan.

“Mereka memberi gambaran dalam taklimat kepada saya bahawa harga jualan X70 dijangka antara RM70,000 hingga RM90,000.

“Pada masa itu, saya diberitahu bahawa harga kereta ini di China bermula dari RM63,000 dan harga jualan di Malaysia dijangka antara 10 hingga 20 peratus lebih mahal berikutan faktor cukai yang berlainan dan kelengkapan berbeza,” katanya.

Sementara itu, penganalisis automotif dan Pengarang Pengarang Portal Permotoran motortrader.com.my, Chips Yap, berkata perkenalan X70 dilihat sebagai langkah PROTON untuk memperkukuhkan kehadirannya dalam segmen kenderaan premium.

“Tawaran produk ini memperlihatkan usaha PROTON untuk mempamerkan keupayaan mereka menghasilkan kenderaan premium selain dari menawarkan produk mampu milik. Individu yang mempunyai pengetahuan mengenai teknologi dan automotif, pastinya setuju dengan harga yang ditawarkan X70.

“Walaupun PROTON adalah syarikat automotif tempatan, ia tidak bermaksud kualiti X70 tidak mampu bersaing dengan jenama antarabangsa. Mereka yang mempunyai pengetahuan dalam teknologi dan automotif pastinya setuju dengan harga yang ditawarkan PROTON untuk SUV baharu itu,” katanya.

PROTON sehingga majlis pelancaran model X70 minggu lalu masih belum mendedahkan angka tempahan rasmi SUV itu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.