58

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery berharap dapat memperkuatkan pasukan pada musim perpindahan pemain bulan ini, namun menafikan Denis Suarez adalah menjadi sasaran utamanya.

Pemain tengah Barcelona itu dikaitkan dengan perpindahan ke Emirates, sekaligus kembali bekerjasama dengan Emery selepas kedua-duanya pernah bekerjasama ketika di Sevilla.

Selepas kemenangan 3-0 ke atas Blackpool pada pusingan ketiga Piala FA, Emery berkata: “Saya rasa kelab sedang berusaha untuk mendapatkan beberapa pemain yang dapat membantu kami untuk tempoh empat bulan akan datang.

“Mungkin menerusi jendela perpindahan itu, kami dapat mencari pemain pertahanan tengah, tetapi ia bukanlah mudah kerana (Konstantinos) Mavropanos juga baru pulih akibat kecederaan. Kami juga mencari pemain sayap kiri atau kanan.”

Ditanya sama beliau mensasarkan Suarez, Emery berkata: “Dia sememangnya beraksi sebagai pemain sayap termasuk ketika bersama saya dulu.”

Emery sekali lagi berdepan kesukaran ketika sesi pemanas badan di Bloomfield Road, selepas Lauren Koscielny mengalami kecederaan dan digantikan oleh Carl Jenkinson.

Bagaimanapun pengurus Arsenal itu optimis ia bukanlah satu isu besar apabila berkata: “Saya harap dia Ok untuk perlawanan seterusnya.

Dalam pertembungan awal pagi tadi, Joe Willock meledak gol pertama dan kedua Arsenal pada separuh masa pertama, sebelum Alex Iwobi menambah gol ketiga pada babak kedua.

Hanya empat pemain tonggak kekal dalam kesebelasan utama kali ini, berbanding ketika mencatat kemenangan ke atas Fulham dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Emery berkata: “Kami memerlukan pemain dengan komitmen tinggi. Kami mahukan pemain yang melakukan persediaan rapi apabila pasukan memerlukan mereka.

“Peluang itu hadir pada perlawanan seperti ini. Kami turunkan barisan campuran termasuk beberapa pemain muda. – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.